SARATOK: Semua calon yang bertanding bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian mempunyai peluang sama rata untuk menang, kata calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Friday Belik.

Ini kerana baginya, potensi kemenangan adalah bersandarkan kepada apa yang boleh ditawarkan setiap parti bertanding bagi memenangi hati rakyat.

“Di mana-mana pilihan raya, peluang untuk semua calon adalah lebih kurang sama. Yang membezakan adalah dari segi isu-isu yang kita bawa, yang dapat menarik perhatian, minat dan memenangi hati para pengundi.

“Jadi, kalau disebut tentang peluang jika dipertandingkan seperti biasa, saya rasa semua orang ada peluang. Apa yang penting adalah, kita dapat meyakinkan pengundi kita,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap keputusan Datuk Ali Biju yang menarik diri daripada bertanding dan mempertahankan kedudukannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian.

Selain itu, tambah Friday, beliau optimis GPS akan mampu memperoleh kemenangan di DUN tersebut berdasarkan laporan diperoleh di lapangan.

“Apa yang kita dapatkan laporan daripada petugas-petugas kita di lapangan sambutan adalah menggalakkan kali ini.

“Ia mungkin akan meningkat dari sekarang sehingga hari pembuangan undi pada 18 Disember 2021 ini. Jadi, itulah yang kita harapkan,” tambahnya lagi.

Terdahulu Ahli Parlimen Saratok itu membuat keputusan untuk tidak mempertahankan kerusi Dun Krian selepas empat hari proses penamaan calon selesai pada 6 Disember lalu.

Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli itu dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, keputusan untuk tidak bertanding sebagai calon Bebas di Dun Krian dibuat bagi memperkukuhkan hubungan yang utuh di antara Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Malah dalam kenyataan sama, Ali berkata akan memberikan sokongan penuh kepada calon GPS bagi menghadapi saingan pada kali ini.

Ali merupakan bekas penyandang kerusi Dun itu sejak 2011.

Pada PRN11, beliau yang bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) berjaya mempertahankan kerusi Dun tersebut untuk penggal kedua.

Beliau menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Kilat Beriak apabila memperoleh 5,388 undi sekali gus memperoleh majoriti selesa dengan 1,640.