KUCHING: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak memerlukan sedikit lagi masa bagi menentukan calon dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) bulan ini.
Menurut Pemangku Pengerusinya, Abang Zulkifli Abang Engkeh ia berikutan berlaku pertindihan di beberapa kerusi melibatkan parti itu dan beberapa parti pembangkang lain terutamanya Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Jelas Abang Zulkifli, PKR pada awalnya menyasarkan untuk bertanding di 49 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak namun terdapat pertindihan sesama parti pembangkang seperti di Senadin dan Piasau.

"Kami memang menyasarkan 49 kerusi namun setelah melihat senario politik semasa, PKR memerlukan sedikit lagi masa untuk menentukan calon akhir.


"Kami juga bersedia untuk mengundurkan calon di kawasan yang mempunyai banyak pertembungan.

"Kerana semakin banyak pertembungan, ia akan memberi kelebihan buat Gabungan Parti Sarawak (GPS)," jelasnya pada sidang media PKR Sarawak di sini pada Khamis.

Ujarnya, rundingan masih berlaku bersama rakan Pakatan Harapan (PH), DAP untuk memberi ruang kepada PKR bertanding di Senadin dan Piasau memandangkan potensi undi memihak kepada PKR di kawasan itu.

Ujarnya, rundingan masih berlaku bersama rakan Pakatan Harapan (PH), DAP untuk memberi ruang kepada PKR bertanding di Senadin dan Piasau memandangkan potensi undi memihak kepada PKR di kawasan itu.

Terdahulu, PH Sarawak mengumumkan PKR akan bertanding di 47 kerusi, DAP bertanding 26 kerusi dan AMANAH bertanding sembilan kerusi.

Sementara itu,  Abang Zulkifli mendakwa prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Melaka mengekang parti pembangkang dan bukannya parti yang memerintah.

Justeru beliau berharap SOP yang bakal ditetapkan SPR bagi PRN Sarawak dapat dipatuhi oleh semua pihak yang terlibat.

"Pada awal perjalanan SOP PRN Melaka cuma memberi tekanan kepada parti pembangkang dan memberi kelonggaran kepada pihak yang memerintah.

"Jadi maksud saya di sini adalah agar perjalanan SOP itu dapat dilaksanakan dengan seadil-adilnya tidak mengira parti, darjat dan sebagainya," ujarnya.

Bertemakan kempen 'Makmur Bersama Keadilan', PKR Sarawak telah menyiapkan 47 jentera parti untuk PRN12.