ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dikatakan ditahan polis pada petang Sabtu.

Menerusi rakaman video sebuah program di Padang Serai, seorang individu lelaki yang dipercayai ahli Pas memaklumkan, Sanusi tidak dapat menghadirkan diri atas faktor keselamatan.

"Panglima perang kita (Sanusi) tak dapat hadir petang ini kerana isu keselamatan. Beliau sebenarnya telah datang (lokasi program) separuh jalan tetapi disebabkan isu serius maka beliau tidak dapat hadir bersama kita namun beliau janji untuk hadir pada waktu lain.

"Insyaallah walaupun panglima perang kita tak dapat hadir kita tetap menyokong PN, bila dia (Sanusi) umum tarikh yang baru (hadir semula) semua akan datang ramai-ramai," memetik ucapan menerusi video berkenaan.

Sementara itu, sumber Astro AWANI memaklumkan, penahanan terhadap Sanusi dibuat oleh polis dari Bukit Aman.

Astro AWANI bagaimanapun sedang menantikan perkembangan selanjutnya bagi mengesahkan tangkapan berkenaan.

Menteri Besar Kedah itu juga baru-baru ini dilihat menerima pelbagai bentuk serangan ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN15).

Dalam masa yang sama, Pengarah Pilihan Raya PN itu juga tampil membuat beberapa bentuk pendedahan terhadap pihak lawan.

Sebelum ini,  Astro AWANI melaporkan polis menahan Muhammad Sanusi untuk menghadapi pertuduhan di mahkamah mengikut Akta Hasutan.

Penahanan dibuat pada sekitar pukul 3 pagi oleh pasukan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5 dan Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di Mont Kiara.