Sejuk hati Datuk Seri Bung Moktar Radin bila isteri tercinta yang juga aktres ternama, Datin Seri Zizie Ezette meninggalkan seketika dunia hiburan semata-mata menemaninya berkempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Kelibat Zizie setidak-tidaknya memberikan motivasi buat calon Barisan Nasional (BN) untuk melipat gandakan kempen dalam usaha memenangi hati pengundinya.

Kempen hari pertama Bung Moktar yang juga tokoh politik yang terkenal kerana kelantangannya di Dewan Rakyat bersama Zizie mencuri perhatian seluruh jentera parti serta pengundi di Pusat Daerah Mengundi Lamag serta Bukit Garam.

Seperti mana suaminya yang mesra menyapa pengundi, sama juga dengan Zizie yang tidak menang tangan ditegur penyokong-penyokong Bung Moktar selain kerap diminta berhenti bagi membolehkan mereka merakamkan foto kenangan.

Penampilan Zizie, 42, dengan tudung bewarna krim dan lengkap jaket biru BN, Zizie mengakui, kehadirannya semata-mata untuk memberi sokongan kepada suaminya.

“Saya tidak terlibat dalam politik tetapi saya kena menghormati dan menyokong kerjaya suami saya sebagai seorang ahli politik.

“Apatah lagi dia (Bung Moktar) kini menjadi calon DUN Lamag, sebagai seorang isteri saya perlu ada di sisinya,” kata Zizie yang pada awal agak keberatan untuk diwawancara oleh Astro AWANI.

Zizie Ezette (bertudung krim) sentiasa disapa oleh penyokong-penyokong suaminya untuk bergambar kenangan. - Gambar ASSIM HASSAN

Sebagai isteri serta memahami aspirasi Bung Moktar, pelakon yang popular dalam drama bersiri Hero Seorang Cinderella itu cukup yakin dengan perjuangan suaminya membantu rakyat.

“Saya yakin dengan apa yang dia (Bung Moktar) lakukan untuk rakyat,” kata Zizie yang sudah lebih sedekad mengahwini Ahli Parlimen Kinabatangan itu serta dikurniakan lima cahaya mata termasuk dua anak angkat.

Bung Moktar bertanding di DUN Lamag yang menyaksikan pertandingan lima penjuru antara Bung Moktar (BN), Mohd Ismail (Warisan), Mohd Al Ruzainie (PPRS), Razman Mayah (PCS) dan seorang calon Bebas, Junny @ Karuak Abdullah.

DUN Lamag antara 13 DUN baharu dan mempunyai 8,159 pengundi berdaftar.

BACA: Zizie Ezette, Bung Moktar timang bayi kembar lelaki

BACA:
Tiada rawatan kesuburan, Zizie Ezette jawab petua hamil anak kembar

BACA:
Zizie Ezette bakal timang anak perempuan