AYER KEROH: Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali, menegaskan tiada halangan mana-mana individu memakai pakaian berlogo parti sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Menjelaskan kekeliruan berhubung ketidakpuasan hati oleh DAP berhubung kompaun RM4,000 terhadap seorang sukarelawan parti, jelasnya notis itu dikeluarkan kerana individu berkenaan dikesan melakukan ‘walkabout’ dan bukan sebab mengenakan pakaian berlogo parti.

Tegasnya, ia jelas melanggar Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) serta prosedur operasi standard (SOP) oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menetapkan tidak boleh melakukan sebarang ‘walkabout’ untuk berkempen.

“Untuk isu itu, bukan polis saman orang pakai baju parti tetapi penganjur atau pengikut  yang melanggar SOP ketika mengikuti calon yang memakai baju lambang Pakatan Harapan (PH), bukan orang yang pakai baju lambang parti.

“Sebenarnya kompaun itu dikeluarkan bedasarkan hantaran yang dibuat di laman Facebook kerana di Melaka kita ada pasukan pemantau 24 jam berhubung pelanggaran kempen pilihan raya ini.

“Kalau dia keluar bukan untuk tujuan berkempen dengan memakai baju parti tidak menjadi masalah, tetapi kita dapati mereka melakukan ‘walkabout’ dan itu terang-terang melanggar SOP yang dikeluarkan SPR sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.


PRN Melaka: DAP personal larangan pakai baju logo parti

BACA: PRN Melaka: Mengapa tak boleh baju berlogo parti? DAP mahu penjelasan

Terdahulu, Pengarah Pilihan Raya DAP bagi PRN Melaka, Khoo Poay Tiong mendakwa, pihak polis telah melarang pekerja parti memakai baju berlogo parti di tempat awam, serta mengehadkan hanya tiga orang sahaja untuk melakukan kerja memacak bendera.

Mengulas lanjut Abd Majid turut menggesa mana-mana pemimpin atau individu yang tidak berpuas hati dengan tindakan penguatkuasaan untuk tampil membuat laporan dan tidak hanya mengambil kesempatan melakukan serangan di media sosial.

“Kalau tidak puas hati dengan tindakan penguatkuasaan janganlah guna media sosial atau pemberita semata-mata kerana itu hanya akan menimbulkan kekeliruan serta menyebabkan rakyat membuat interpretasi sendiri.

“Saya pohon pihak yang memberi kenyataan macam itu dia buat laporan kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuaaan (EAIC) kalau mereka tidak puas hati dengan penguatkuasaan kami, biar suruhanjaya itu pula yang jalankan siasatan terhadap kami,”katanya.