ALOR SETAR: Pengarah Pilihanraya Pas Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan bahawa parti itu tidak berada di dalam dilema atau menghadapi masalah dalam memilih rakan kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November depan.

Menurutnya, pendirian yang diambil Pas adalah bagi memastikan kerjasama serta penyatuan Melayu dan Islam dapat dilaksanakan meskipun berhadapan dengan pelbagai tohmahan termasuk dilabel sebagai 'rakus kuasa'.

Beliau menyatakan tanggungjawab untuk membentuk kerjasama dan penyatuan adalah satu kewajipan sebagai orang Islam dan ianya bukanlah perkara yang 'suka-suka' atau dilakukan demi memenuhi kepentingan peribadi.

"(Sebenarnya) yang (berada di dalam) dilema bukan Pas, yang (dalam) dilema orang lain. Pas sebenarnya tidak ada masalah apa-apa, siapa yang nak penyatuan silakan, Pas 'ready' (sedia) sahaja.

"(Yang bertanyakan Pas pilih Muafakat Nasional atau Perikatan Nasional), sebenarnya (Pas pilih) dua-dua, (yang sifatkan Pas rakus kuasa) dia bukan macam tu (yang kata) rakus kuasa. Ini kewajipan Pas untuk menyatukan umat Islam, mana boleh beritahu (tindakan Pas) ini kerakusan pula, itu satu dosa, tuduh Pas selaku rakus.

"(Dalam situasi ini) saya kata main 100 kolam (pun) tak apa kalau atas nama penyatuan perpaduan kesatuan politik Islam dan Melayu, 100 kolam pun kita akan berenang, jangan kata tiga, 100 pun takpa," ujarnya.

Sanusi berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan majlis penutup #MyDigitalMaker Virtual Fair Negeri Kedah di Wisma Darul Aman, Alor Setar pada Ahad.

Terdahulu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyatakan bahawa parti itu ketika ini sedang berusaha sedaya upaya bagi mengelakkan pertembungan sesama sendiri membabitkan parti-parti yang kini berada didalam blok kerajaan bagi menghadapi Pilihanraya Negeri (PRN) Melaka.

BACA: PRN Melaka: UMNO cuba elak pertembungan, sedang adakan rundingan - Mahdzir

BACA: PRN Melaka: 'Perkukuh MN? Saya harap Pas pertimbangkan semasaknya' - Muhyiddin

Menurutnya, perbincangan lanjut juga sedang dan akan dilaksanakan UMNO berkaitan jumlah kerusi yang akan ditandingi dan keputusan mengenai perkara itu akan dibuat dalam masa terdekat.

Manakala di pihak Perikatan Nasional (PN), Pengarah Jabatan Pilihan Rayanya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyatakan bahawa gabungan itu sedang dan akan melakukan perbincangan lanjut mengenai logo yang akan digunakan bagi menghadapi Pilihanraya Negeri (PRN) Melaka, 20 November depan.

BACA: PRN Melaka: PN akan bincang penggunaan logo, hari penamaan calon 'lambat lagi' - Azmin

Menurutnya, tarikh bagi hari penamaan calon "masih lambat", dan maklumat berkaitan penggunaan logo hanya akan diumumkan selepas keputusan dicapai oleh parti-parti yang terlibat.