AYER KEROH: Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka membuka tirainya pada Isnin dengan penamaan calon dijalankan pada pagi tadi, menyaksikan seramai 112 calon mendaftarkan nama untuk bertanding di 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). 

"Dengan selesainya proses penamaan calon tersebut, maka tempoh berkempen bermula selepas pengisytiharan pilihan raya dipertandingkan oleh pegawai pengurus sehingga jam 11.59 malam, 19 November 2021," kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai penamaan calon pada Isnin. 

Selepas lebih setahun tiada pilihan raya - kali terakhir PRN Sabah pada September 2020 - parti bertanding kini dilihat bersedia bertanding bagi membuktikan mereka masih relevan dan masih mendapat sokongan rakyat.

Menariknya, semua parti bahkan Barisan Nasional mempertaruhkan ramai muka baharu termasuk calon muda sebagai tarikan untuk menambat hati rakyat Melaka.

Berikut antara maklumat penting PRN Melaka seperti diumumkan SPR pada Isnin (8 Nov, 2021): 

1. Kesemua 28 kerusi DUN Melaka menyaksikan pertandingan sekurang-kurangnya tiga penjuru.

2. BN, Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional masing-masing merebut 28 kerusi, Putra (5), Iman (1) dan Bebas (22).

3. Sejumlah 11 kerusi menyaksikan persaingan tiga penjuru, sembilan kerusi dengan empat penjuru, lima kerusi dengan lima penjuru dan tiga kerusi dengan enam penjuru

4. Daripada keseluruhan 112 calon, 96 daripada mereka adalah lelaki, dan bakinya 16 lagi adalah wanita

5. Calon termuda dalam PRN kali ini ialah Farzana Hayani Mohd Nasir (21 tahun) dari PH untuk kerusi DUN Sungai Rambai.

6. Calon tertua ialah Datuk Kalsom Nordin (68 tahun) dari BN untuk kerusi DUN Pengkalan Batu.

INI APA YANG BERLAKU PADA PENAMAAN CALON HARI INI


7. Sembilan calon berusia lingkungan 21 – 29 tahun, 21 calon (30 – 39 tahun), 35 calon (40 – 49), 36 calon (50 – 59) dan 11 calon melebihi usia 60 tahun.

8. Penganjuran ceramah, syarahan, kempen secara fizikal adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh PRN Melaka. 
SEMUA ANDA PERLU TAHU BERHUBUNG PRN MELAKA DI SINI


Dalam sidang media selepas proses penamaan calon hari ini, Abdul Ghani meminta semua pihak yang terlibat dengan PRN Melaka mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 bagi PRN Melaka yang disenaraikan dalam portal SPR.

Menurutnya semua SOP itu diluluskan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) semalam.