KUALA LUMPUR: Siapa yang tidak suka datang ke Melaka?

Ada sebenarnya dan mungkin sebabnya hanya satu - kesesakan trafik. Inilah pematah semangat dan keinginan untuk meluangkan masa menikmati keindahan negeri ini, khususnya di sekitar Banda Hilir dan Jalan Jonker.

Sendu teruk dalam tempoh dua tahun lalu dek pandemik COVID-19, Melaka kini kembali sesak, sisi positifnya terbuka kembali pintu rezeki para pengusaha produk pelancongan dan peniaga termasuklah Mohd Qamar Zamri, pemilik Kafe Tuju.

Perniagaannya yang dahulu merudum sehingga 80 peratus, kini hampir tak menang tangan melayan pelanggan yang singgah dan bersanggar di kedainya di celahan bangunan kedai lama di Lorong Jambatan Kampung Jawa.

“Masa PKP kami terpaksalah fikir cara macam mana nak terus hidup, jadi kami buat nasi goreng di samping kopi yang mudah dipesan pelanggan di rumah tanpa perlu fikir panjang," katanya.

Nasibnya baik, dia mendapat lokasi strategik yang cukup tulen dan klasik itu sebelum terfikir pun perniagaan apa yang mahu diusahakan.

Akhirnya dia dan isteri memutuskan untuk membuka kedai kopi, meninggalkan kerja korporatnya lalu mula mengembara mencari ilham dan menimba ilmu dari serata negara malah hingga ke Jogjakarta.

“Dulu masa mula-mula, lorong ni sunyi. Selalu fikir kalau perompak datang rompak kedai kita sia-sia saja.

“Alhamdulillah sekarang dah ramai, dah jadi tempat lepak khususnya orang-orang muda minum kopi sambil buat ‘networking’," katanya.

Kafe Tuju antara lokasi tumpuan anak muda bersanggar di Kota Melaka. (Gambar Instagram @kafe_tuju)

Namun dia sendiri sebagai anak jati Melaka sudah serabut, bukan dengan khalayak yang semakin ramai, tetapi dengan kenderaan yang bertali arus di Jalan Kampung Pantai yang serenjang dengan lorong itu.

Trafik sesak di Banda Hilir dan Jalan Jonker ini bukan masalah yang baharu, satu Malaysia sudah tahu. Mungkin antara perkara masyhur di Melaka yang tidak mahu dibanggakan.

Maka dengan kerajaan baharu yang bakal terbentuk selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, harapan baharu itu ada dan harap-harap sesuatu dapat diusahakan.

“Kalau boleh sekurang-kurangnya buat satu program macam ‘car-free day’, memang sangat membantulah sebab beri keselesaan dan kebebasan orang nak berjalan dengan selamat.

“Pada masa sama kita boleh naikkan (perkhidmatan) beca, sekarang ini pun orang nak naik beca (dari sini) kena keluar jauh ke bangunan merah (Stadthuys) itu.

“Jadi kalau boleh diperluaskan ke kawasan-kawasan pelancongan lain di sini dan memudahkan pelancong untuk bergerak. Kalau malas berjalan, naik beca,” katanya.

Qamar harap selepas ini masa depan perniagaannya dapat terus berkembang bersama pemulihan sektor-sektor lain ketika negara beransur hidup dalam endemik. Mahu juga dia ada dapur dan ruang yang lebih luas, andai ada rezeki.

Melaka ini punya potensi yang besar, katanya, dan anak Melaka perlu berani mengambil peluang itu dan cuba usahakan apa sahaja ketika fasa kebangkitan ini.

“Macam-macam boleh buat di Melaka ni, boleh buka kedai kopi, ‘skateshop’, kedai ‘streetwear’, pelbagai lagi.

“Mungkin tempat (untuk berniaga, beraktiviti) itu perlu lebih dipermudahkan, dan dirancakkan lagi program-program anak muda,” katanya.



PRN Melaka: Jalan raya sekitar Banda Hilir, Jalan Jonker dicadang tutup kepada kenderaan