ALOR GAJAH: Calon Perikatan Nasional (PN) untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya, Tai Siong Jiul mahu membuktikan pemilihannya sebagai ahli bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dapat membawa budaya baharu dalam arus politik perdana.

Ahli perniagaan itu berkata, walaupun parti itu sering dikaitkan dengan agenda Melayu dan Bumiputera, beliau mahu membuktikan bahawa agenda Bersatu dan PN sebenarnya lebih besar, iaitu demi kesejahteraan, perpaduan dan kemakmuran semua bangsa di negara ini.

Jelasnya lagi, biarpun beliau diibaratkan muka baharu dalam arena politik, namun penglibatan dan pengalamannya dalam khidmat bakti melalui pertubuhan bukan kerajaan akan digunakan sebaik mungkin sekiranya terpilih sebagai wakil rakyat Machap Jaya.

“Saya berasa sangat bangga, lagipun saya rasa ini era politik baharu dan ia akan membawa sesuatu lebih baik dalam menyuburkan demokrasi dan saya amat yakin untuk meneruskan perjuangan saya bagi membela nasib rakyat,” katanya ketika ditemui Astro AWANI pada Khamis.

Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Sabtu ini, Siong Jiul, 54, menghadapi saingan lima penjuru di DUN Machap Jaya dengan pencabarnya terdiri daripada Ngwe Hee Sem dari MCA-Barisan Nasional; Law Bing Haw (PKR-Pakatan Harapan); Abdul Aziz Osani Kasim (IMAN) dan Azlan Daud (Bebas).

Pada pilihan raya umum lepas, kerusi DUN Machap Jaya dimenangi Ginie Lim yang ketika itu bertanding di bawah bendera Parti Keadilan Rakyat dengan majoriti 1,336 undi.

Mengulas lanjut, Siong Jiul mengakui memahami permasalahan penduduk Machap Jaya, memandangkan beliau merupakan anak jati, lahir dan menerima pendidikan awal di kawasan itu.

Tegasnya lagi, antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah mengenai isu tanah dalam kalangan pekebun-pekebun kecil khususnya mengenai isu pajakan yang menghampiri tempoh tamatnya antara lima hingga enam tahun lagi.

“Saya lihat masalah utama di Machap Jaya…  tanah itu adalah punca pendapatan utama mereka. Ada yang menoreh getah, pertanian, ada kelapa sawit dan sebagainya.

“Dan tarikh tamat pajakan dari kerajaan negeri sudah dekat, bermakna ada yang tinggal empat tahun, lima tahun sahaja lagi. Mereka selalu bagi tahu saya, tolonglah tengok, boleh tengok apa macam boleh bantu untuk teruskan pajakan ini,” katanya lagi.

Dengan manifesto yang digariskan oleh PN, Siong Jiul optimis beliau dapat membantu bukan sahaja pengundi kaum Cina yang merangkumi 60 peratus kawasan Machap Jaya tetapi juga kaum-kaum lain.

Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, keputusan parti meletakkan calon dari kalangan sayap bersekutunya untuk PRN Melaka menunjukkan komitmen parti itu untuk mengenengahkan prinsip inklusif dan kebersamaan.

Beliau berkata, langkah itu merupakan ‘game-changer’ untuk arus politik semasa dan usaha mengenepikan pandangan negatif bahawa parti itu terlampau berpusatkan Melayu dan Islam.

Katanya lagi, pencalonan Siong Jiul untuk DUN Machap Jaya diharap dapat meyakinkan rakyat Melaka dan Malaysia secara amnya, bahawa parti itu mahu ke hadapan untuk mewujudkan budaya politik baharu di negara ini.

“Saya harapkan Siong Jiul beroleh kejayaan kerana saya yakin ini akan mencatat budaya baru dalam politik. Ramai pihak menuduh Bersatu, agendanya terlalu chauvinis Melayu. Ini yang kita cuba buktikan, ada bukan Melayu yang menjiwai perjuangan inklusif Bersatu.

“Ini buktikan budaya politik nak dibawa ialah identiti politik yang lebih inklusif tetapi kekal menyokong perkara dasar dalam parti kita. Parti tidak berubah, tapi sokongan ini semakin besar. Ini satu kejayaan di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin,” kata Wan Saiful kepada Astro AWANI.