KUALA LUMPUR: Seandainya dipilih menjadi wakil rakyat Merlimau nanti, calon Barisan Nasional (BN) N.27, Dr Muhammad Akmal Salleh mahu memberi nafas baharu kepada pusat perindustrian yang ada di DUN itu.

Katanya, ia supaya daya ekonomi rakyat Merlimau dapat ditingkatkan sekaligus tidak perlu untuk mereka keluar dari situ untuk mencari kehidupan yang lebih baik.

“Orang Merlimau sekarang ini kalau nak bekerja dia kena pergi luar daripada Merlimau, keluar ke bandar.

“Kita akan bangunkan semula kawasan perindustrian Merlimau yang dulunya pesat membangun, akhirnya mungkin ada kekangan ekonomi ia turun balik. Itu agenda utama kita,” katanya.

Selain itu, beliau turut menawarkan khidmat untuk membina serta menambah baik infrastruktur untuk kesejahteraan penduduk Merlimau yang semakin meningkat.

Serta, selaras dengan manifesto peringkat negeri BN, usaha menyelesaikan masalah banjir di Merlimau akan digerakkan sampai berjaya.

“Bila pembangunan yang pesat akan ada masalah perparitan, bila ada masalah parit akan ada masalah banjir.

“Antaranya dalam manifesto itu menyatakan kita akan laksanakan dalam tempoh 5 tahun projek tebatan banjir di Merlimau ini, yakin dan pasti mesti dilaksanakan dalam masa 5 tahun,” katanya.

Juga dengan meningkatnya populasi Merlimau, beliau mahu mewujudkan tempat-tempat riadah dan rekreasi untuk kesejahteraan jasmani dan rohani rakyat setempat.

Tonton temu bual beliau dalam Agenda AWANI Melaka Memilih bersama hos Nazri Kahar, di sini:



BN mahu hidupkan kembali pusat perindustrian Merlimau


Agenda AWANI: PRN Melaka - Tawaran tambat hati pengundi?