KUALA KEDAH: Parti Gerakan sah akan bertanding di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Bagaimanapun Presidennya, Datuk Dominic Lau menyatakan bahawa perincian mengenai ketiga-tiga DUN berkenaan akan dimaklumkan Rabu depan, bertempat Ibu Pejabat PN di Kuala Lumpur.

Beliau memaklumkan perkara berkenaan selepas Persidangan Perwakilan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM) Peringkat Negeri Kedah di Jalan Kuala Kedah malam tadi.

Menurutnya, persiapan yang dilakukan parti berkenaan dalam menghadapi PRN kali ini menerusi gabungan PN bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas berada pada tahap yang sangat baik.

Momentum berkenaan diyakini mampu membuahkan hasil termasuk kemenangan kepada Parti Gerakan selepas tewas teruk dalam Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) sebelum ini.

"Seperti yang saya katakan tadi kita akan bertanding tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di (negeri) Kedah, tiga kerusi berkenaan (akan ditandingi) Parti Gerakan di bawah (gabungan atau lambang) Perikatan Nasional.

"Memang rundingan kerusi sudah (hampir keseluruhannya) selesai tetapi kita akan umumkan keputusan komponen parti mana akan mewakili Perikatan Nasional (secara terperinci) untuk bertanding dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing (di enam negeri) akan diumumkan pada 22 Jun (depan)," katanya.

Dalam perkembangan sama, Dominic menyatakan bahawa Gerakan telah menetapkan beberapa kriteria kepada calon yang akan bertanding dalam PRN akan datang.

Antaranya ialah berkemampuan dan mempunyai potensi yang besar untuk menang di DUN yang ditandingi, berkemampuan dari segi kewangan serta fasih berkomunikasi dalam Bahasa Melayu.

"Memang ini adalah syarat yang sangat penting kerana kita tak nak selepas mereka dilantik atau dipilih sebagai Yang Behormat (YB) tetapi (mereka) tidak boleh membela hak-hak (dan membawa suara rakyat) di dalam Dewan Undangan Negeri, Dewan Rakyat, (dan) Dewan Negara.

"Kita (semua di dalam Gerakan) memang tahu syarat (berkemahiran dan menguasai) bahasa (Melayu dengan baik) amat penting sebagai YB atau wakil rakyat, jika tidak boleh mematuhi syarat ini, jangan (berangan-angan) hendak jadi calon (Gerakan), atau Yang Behormat (kelak)," tegasnya.

Semalam, Presiden Gerakan itu menyatakan bahawa parti berkenaan yang merupakan komponen PN akan bertanding di empat daripada enam negeri yang akan mengadakan PRN dalam waktu terdekat.

Empat negeri berkenaan adalah Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Selangor dan Kedah.