GOMBAK: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menjelaskan tawaran 5 Tekad 5 tahun oleh PH dan Barisan Nasional (BN) mendapat sambutan daripada rakyat di negeri itu sejak dilancarkan 31 Julai lalu.

Jelasnya, meskipun kempen berbaki beberapa hari sebelum hari pengundian pada Sabtu ini (12 Ogos), beliau yakin rakyat akan terus memberi sokongan kepada Kerajaan Perpaduan untuk kekal mentadbir negeri itu.

"Gerak kerja PH dan BN berada pada landasan yang tepat untuk megekalkan pentadbiran dibawah PH bersama BN dengan beberapa sokongan jelas di akar umbi dan kehadiran rakyat dalam program bersama," kata Amiruddin.

"Malahan manifesto dibentangkan itu juga telah mendapat sambutan sangat baik terutama dalam program baucar buku, insentif muassasah haji.

"Tidak ketinggalan penjanaan ekonomi ditawarkan dengan pembinaan rel dan juga pembinaan bandar-bandar baharu  yang ada disebutkan dalam tawaran tersebut termasuk meletakkan Selangor Maritime Gateway (SMG) sebagai satu projek pemangkin (catalyst) pembangunan," jelasnya.

Sebaliknya, sebahagian tawaran PH yang diumumumkan, sudah pun dilaksanakan kerajaan negeri dibawah pentadbirannya.

"Tawaran-tawaran dikemukakan pihak lawan dalam pertandingan PN hanya menggunakan sebahagian yang telah kita laksanakan contoh, apabila ditawarkan subsisidi yuran Kaafa kita sudah laksanakan sejak dua tahun lalu.

"Bila kita tawarkan kenaikan gaji, benarlah tanggapan saya bahawa mereka (PN) hanya menyemarakkan program kebajikan tapi tawaran ekonominya agak lemah terutamanya dalam memulihkan negara dan proses pembangunan semula pasca-pandemik COVID-19," tambahnya.

Amirudin berkata demikian ketika mengulas dakwaan Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bahawa lebih banyak program kebajikan telah dilaksanakan ketika beliau menjadi Menteri Besar Selangor.

"Kita juga telah berbelanja untuk program kebajikan dengan peruntukan RM2.3 billion berbanding RM1.3 billion pada waktu itu Kita berbelanja lebih daripada beliau termasuk mewujudkan program-program baharu yang melibatkan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC)," tambah Amiruddin.

"Saya juga telah berbelanja RM1 billion ketika pandemik COVID-19, tahun lepas dan hasilnya kita berjaya mendapat bajet surplus selama tiga tahun berturut-turut ...itu rekod yang boleh dikongsi," tambahnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas Menteri Besar Selangor di Pejabat Ahli Parlimen Gombak di sini pada Selasa.