Calon Bebas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Mohd Nor Yassin akhirnya mula keluar berjumpa pihak media dan pengundi pada hari keenam Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) itu.

Katanya, beliau sebelum ini belum bersedia untuk bertemu media bagi mendedahkan kempennya mendekati pengundi.

"Alhamdulillah, saya mahu masa dua tiga hari. Saya calon Bebas dan pengikut tak ramai. Itu adalah antara batasnya dan persiapan belum sampai maksima lagi. Berbeza dengan calon PH (Pakatan Harapan) dan BN (Barisan Nasional).

"Saya belum nak minta lagi derma kempen. Kalah tidak mengapa, yang penting, saya mahu tunjuk kebenaran," kata bekas guru dan pensyarah itu semasa ditemui di Bilik Gerakan calon Bebas itu di Kampung Sega Tengah di Rantau, pada Khamis.


Mohd Nor mengedarkan risalah manifestonya ketika berkempen di Rantau hari ini. - Astro AWANI/Rahimah Abdullah
Selain berkempen dan beramah mesra dengan pengundi, Mohd Nor turut melancarkan manifestonya yang menggariskan lima misi utama iaitu membangun bersama Islam; kebajikan rakyat diutamakan; suara rakyat suara saya; membangunkan insan, dan perpaduan kaum diutamakan.

Lima misi utama dalam manifesto pilihan raya Mohd Nor.
Dengan menggunakan logo pen, Mohd Nor, 67 tahun, mahu meneruskan perjuangan bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Saya nak membawa mesej bahawa yang benar perlu diteruskan. Ini perjuangan yang sangat payah. Tak ramai orang yang akan bersama.

"Saya dulu terlibat dengan politik dan apa yang berkaitan dengan teras Islam. Namun hari ini, saya Bebas dan saya mahu ada kaitan dengan kesinambungan Islam. Saya akan teruskan agenda perjuangan Tok Guru. Banyak pesanan dan nasihat disampaikan yang kita perlu ikuti serta lakukan," tambah beliau.

Mohd Nor beramah mesra bersama pengundi di Rantau hari ini. - Astro AWANI/Rahimah Abdullah
Dalam pada itu, beliau menegaskan tidak lagi menganggotai mana-mana parti politik.

"Banyak kontroversi, saya tahu. Saya bebas bergerak ke hadapan. Yang lepas itu, lepaslah," ujarnya.