JOHOR BAHRU: Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa kepentingan orang Melayu ketika ini berada dalam keadaan yang sangat sukar tetapi 'berbahaya', dan kerana itu kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai pada 9 September depan, perlu disekat.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, sekiranya kemenangan berpihak kepada calon PH, ia memberi kelebihan kepada kerajaan ketika ini untuk memiliki dua pertiga majoriti di Dewan Rakyat, yang membolehkan pindaan Perlembagaan dilakukan termasuk persempadanan kawasan pilihan raya.

Berucap dalam Ceramah Perdana di Taman Kempas pada Sabtu malam, bekas Perdana Menteri itu berkata, lebih merisaukan jika persempadan tersebut kemungkinan berfokus di kawasan bandar, yang kebanyakannya didiami pengundi Cina.

"Di mana kawasan yang dia nak tambah? Mungkin di kawasan-kawasan bandaran yang mana terdapat kepadatan penduduk. Ini bukan soal isu perkauman, ini realiti geopolitik yang sudah ada di sini, dan juga di tempat-tempat lain. Maka, apakah pihak kerajaan yang ada hari ini akan mengubah kawasan sempadan?

"Ini diistilahkan sebagai 'gerrymandering' iaitu kawasan yang orang tak sokong dia, dia keluarkan masuk ke tempat lain, (dan) kumpulkan ke satu tempat. Dia hanya ambil orang-orang yang sokong, dan ditambah kerusi-kerusi baharu.

"Kalau ikutkan keadaan sekarang ini majoriti kawasan-kawasan bandar diduduki oleh orang Cina. Saya tak salahkan mereka (pengundi Cina) tetapi sebahagian besar ikut rekod yang lepas, kawasan-kawasan bandar kita kalah (dalam pilihan raya)," katanya ketika berucap, di sini.

Hadir sama, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dominic Lau; Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; serta Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Radzi Jidin. 

Berbeza di kawasan-kawasan seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu, Muhyiddin berkata, kemungkinan jika berlaku persempadan kawasan pilihan raya, jumlah tambahan kerusi Parlimen di negeri-negeri berkenaan hanya dalam jumlah yang kecil.

Jelas Presiden Bersatu itu lagi, mengikut peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, persempadanan kawasan pilihan raya boleh dibuat setiap lapan tahun.

"Tetapi (persempadan) tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya tanpa ada kelulusan di Parlimen dan ini menyebabkan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan, yang memerlukan undi dua pertiga.

"Jadi sekarang ini kalau mereka menang di Parlimen Pulai, mereka dan dapat dua pertiga (majoriti). Dia (kerajaan memerintah) akan pinda kawasan sempadan... macam mana tuan-tuan fikir dia nak buat?

"Dia pastinya, satu (contohnya) sekarang ini ada 222 kawasan Parlimen termasuk Sabah dan Sarawak. Kata kan lah untuk ke hadapan ini, dia nak tambah menjadi 300 kerusi. Jadi daripada 222 (kerusi Parlimen), tambah lagi 78 kerusi," ujar Muhyiddin lagi.

Dalam masa sama, Ahli Parlimen Pagoh itu mendakwa, ketika ini kita (parti Melayu) telah hilang kuasa, selain kerajaan hari ini didakwa seolah-olah tidak faham masalah orang Melayu.

"Ada kerajaan tetapi tak bersimpati dengan perjuangan orang Melayu. Saya bukan nak bangkitkan (isu perkauman) tapi ini realiti yang kita tengok hari ini.

"Habis kalau ke hadapan akan ada perubahan dan kita lihat perubahan itu membebankan masalah kita (orang Melayu), apa yang tinggal bagi kita?.

"(Saya) nak ingatkan, we are in the very difficult but in dangerous situation, understand? Jadi kalau sedar tentang perkara itu, ini masanya (beri kemenangan kepada PN di Parlimen Pulai)," kata Muhyiddin.

Pada 28 Mac 2018, Dewan Rakyat meluluskan usul kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya bagi Semenanjung Malaysia yang dibentangkan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.

Menerusi persempadanan semula itu, tiada pertambahan kerusi bagi kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus menjadikan jumlah kerusi Parlimen kekal 222 kerusi dan 587 kerusi bagi DUN.

Namun, menerusi laporan persempadanan yang diluluskan itu, sebanyak 12 nama kawasan Parlimen dipinda manakala 29 kawasan lagi membabitkan DUN.