SHAH ALAM: Pakatan Harapan (PH) Pahang akan berusaha menarik pengundi luar khususnya yang berada di ibu negara, untuk pulang mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, 7 Okt ini.

Pengerusi PH Pahang Datuk Seri Amirudin Shari berkata setakat ini, pihaknya telah mengenal pasti lebih 2,000 pengundi DUN berkenaan, yang berada di ibu kota.

"Kita sedang cuba untuk pujuk dan beritahu keperluan untuk mereka turun mengundi. Ini antara usaha untuk memenangkan calon Barisan Nasional (BN) di DUN itu.

"Ini bagi memastikan (DUN) Pelangai mempunyai representasi yang baik, terutama untuk meneruskan kelangsungan pembangunan dan pembelaan kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Hartanah Selangor 2023 anjuran Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) di sini, semalam.

PRK DUN Pelangai diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Johari Harun, yang terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Bandar Elmina di sini pada 17 Ogos lepas.

Ia menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon BN Datuk Amizar Abu Adam, calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasni.

Ditanya status terkini petisyen untuk membatalkan keputusan empat kerusi dimenangi PN pada Pilihan Raya Negeri Selangor Ogos lalu, Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata pihaknya sedang menunggu maklumat lanjut daripada peguam.

Sebelum ini, PH dan BN mempertimbangkan untuk memfailkan petisyen pilihan raya di kerusi DUN Sungai Kandis, Taman Medan, Gombak Setia dan Dengkil, yang majoriti kemenangan rendah.

Keputusan bagi empat kerusi berkenaan menyaksikan PH-BN kalah dengan 407 undi di Dengkil, Sungai Kandis (167), Gombak Setia (58) dan Taman Medan (30).

Sementara itu, mengulas khabar angin beliau ditawarkan menjadi menteri di peringkat Pusat, Amirudin berkata perkara tersebut sudah diperkatakan sejak tahun lepas.

"Khabar angin saya ke Pusat itu ada sejak 2022 dan saya tidak dengar apa-apa (dan terima tawaran ke Pusat). Itu cuma khabar angin. (Beralih ke Pusat) itu bawah bidang kuasa Perdana Menteri. Biar Perdana Menteri fikir dan buat keputusan," katanya.

-- BERNAMA