Beliau berkata, di bawah kepimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden parti, perlembagaan parti itu telah diperkemas dan ditambah baik dengan memasukkan elemen perjuangan Islam.
"Percayalah kalau mereka kata mereka parti Islam - saya nak sebut di sini, dalam Perlembagan UMNO fasal 3, berbunyi UMNO adalah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita agama Islam, kebangsaan Melayu, Bumiputera, Orang Asli dan anak Sabah. Itu perjuangan UMNO pada saat dan ketika ini
"Kalau dulu UMNO adalah parti politik untuk kebangsaan Melayu, itu perlembagaan dahulu," katanya ketika berucap di hadapan penduduk Felda Cherol, di sini, sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman.
Pada PRK Kemaman, Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan bekas Panglima Angkatan Tentera, Jen (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang akan berdepan pertandingan satu lawan satu dengan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili Pas.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 Nov ini bagi tarikh mengundi awal, manakala 2 Dis bagi hari mengundi untuk PRK Kemaman, yang perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada PRU15.
- BERNAMA