PUTRAJAYA : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh 28 September 2024 sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di Johor.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, keputusan itu dicapai selepas selesai mesyuarat ahli jawatankuasa suruhanjaya itu pada pagi Selasa.

Menurutnya, segala urusan permohonan berkaitan undi pos dalam dan luar negara juga dibuka bermula Selasa, 13 Ogos 2024.

“PRK ini memerlukan peruntukan RM2.4 juta. Berikut adalah tarikh-tarikh penting bagi PRK DUN Mahkota Johor. SPR telah menetapkan tarikh penting seperti berikut.

“Tarikh writ pada 13 Ogos 2024. Hari penamaan calon, 14 September 2024 iaitu pada hari Sabtu.

“Hari undi awal pada 24 September iaitu pada hari Selasa, dan hari mengundi adalah pada 28 Sepetember 2024 iaitu pada hari Sabtu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat SPR di Putrajaya pada Selasa, selepas selesai bermesyuarat lebih satu jam.

Dalam pada itu, Ramlan memaklumkan, berdasarkan data daftar pemilih yang telah dikemaskini pada 2 Ogos lepas, DUN Mahkota mempunyai seramai 66,318 pemilih.

Jelasnya, seramai 1,126 petugas akan dilantik bagi mengendalikan PRK DUN Mahkota dengan keseluruhan 23 buah pusat mengundi dengan 120 saluran disediakan dalam pilihan raya itu.

Katanya lagi, bagi memantau perjalanan kempen, SPR juga menubuhkan satu Pasukan Penguatkuasa kempen Pilihan Raya (PPKPR) yang turut dianggotai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan wakil calon bertanding.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan pemergian penyandang kerusi tersebut, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, yang meninggal dunia pada jam 12.30 tengah hari pada 2 Ogos lepas.

Jenazah Sharifah Azizah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudahatul Sakinah, Kampung Tengah Kluang pada petang 2 Ogos lalu.

Jenazah dikebumikan selepas solat jenazah di Masjid Jamek Kampung Tengah, Kluang pada jam 5.25 petang.

Sharifah Azizah yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang sejak 1993 merupakan bekas Ketua Wanita UMNO Johor dan memenangi kerusi DUN Mahkota pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022.

Sebelum ini, Sharifah Azizah adalah ADUN Penawar dari 2018 sehingga 2022.

Beliau adalah anak kepada Allahyarham Datuk Syed Zain Idrus Shahab Al-Haj yang merupakan bekas Speaker DUN Johor paling lama berkhidmat, iaitu dari 1978 hingga 1990.