SEMPORNA: Isu pembangunan infrastruktur antara yang menjadi agenda utama beberapa calon yang berentap di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 19 November ini.

Bagi mereka, kemudahan asas seperti masalah bekalan air bersih dan jalanraya  di kawasan berkenaan, didakwa masih belum dapat diselesaikan sejak puluhan tahun lalu.

Calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Mohd Hassan Abu Bakar berkata, sebagai anak jati di DUN Bugaya, beliau menganggap isu kemudahan asas tidak sepatutnya dihadapi oleh rakyat selepas negara mengecapi 65 tahun Kemerdekaan.

"Saya lebih tertumpu kepada isu-isu tempatan khususnya sosial ekonomi, dan juga kemudahan asas yang masih  di tahap sangat tidak memuaskan terutama isu air.
DI SINI ADA KEPUTUSAN RASMI PRN SABAH



BACA: PRK Bugaya: DUN Sabah serah kepada SPR tetapkan tarikh


"Kita sudah terlalu lama sebenarnya (berdepan masalah tersebut) sehingga banyak (tempat) termasuk rumah arwah ayah saya sendiri pun mereka menggali air graviti. Jadi, sepatutunya di abad ke-20 ini tidak timbul lagi perkara-perkara asas ini," katanya ketika ditemui Astro AWANI, baru-baru ini.

Sementara itu, aktivis politik dan Youtuber, Jufazli Shi Ahmad yang bertanding atas tiket Bebas menggunakan lambang perahu mengakui pencalonan dalam PRK dibuat tiga hari sebelum penamaan calon pada 5 November.

Keputusan itu katanya selepas mengambil kira 'permintaan' peminat-peminat di laman sosialnya yang mahukan dia membawa perubahan di daerah Semporna.

"'Followers' saya di YouTube dan TikTok meminta untuk berjuang untuk mereka. Isu air dan jalanraya yang sangat teruk di Semporna, isu bekalan elektrik, dan perumahan.

"Kampung Bangau-Bangau, Kampung Panji, Kampung Air, antara kampung yang miskin di Semporna iaitu pengundi Bugaya yang dipinggirkan," ujarnya.

Anak jati dan berbangsa Bajau itu berkata, dia akan menggunakan kelebihannya di media sosial untuk berkempen dan mendekati pengundi-pengundi di DUN berkenaan.

Selain itu, satu-satunya calon wanita yang bakal berdepan saingan tujuh penjuru di DUN berkenaan,  Nazmawati Walli daripada Parti Bangsa Malaysia (PBM) pula, mahu memastikan hak kesamarataan gender.

"InsyaAllah saya yakin, wanita anak muda pelapis dan anak bangsa jati daerah Semporna ini, kita perlukan perubahan dan anak muda sebagai pelapis terutamanya golongan wanita perlu dapat hak-hak kesamarataan sama dengan lelaki.

"Kita perlu maju ke hadapan untuk membangunkan Semporna dengan lebih baik," kata ahli perniagaan itu.

Selain mereka, empat lagi calon yang bakal memberi saingan di kerusi DUN Bugaya ialah Jamil Hamzah daripada Parti Warisan (Warisan); Karil Pg Kuraini (Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS)), Abd Aziz Mohd Ibno (Barisan Nasional (BN)) serta Arastam Pandorog (Pakatan Harapan (PH)).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan PRK DUN Bugaya pada 16 Januari 2021, tetapi ditangguhkan susulan proklamasi darurat bagi mencegah COVID-19.

Proklamasi darurat itu dibatalkan pada 6 Oktober lepas.

Penyandang kerusi DUN Bugaya, Allahyarham Manis Muka Mohd Darah menang pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 atas tiket Warisan dengan majoriti 6,005 undi selepas memperoleh 8,557 undi.