“Siapa sahaja yang langgar peraturan parti, waima presiden sendiri, dia wajar dipecat,” tegas Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pemecatan dua pemimpin veteran dan bekas menteri iaitu Tun Daim Zainuddin dan Tan Sri Rafidah Aziz, berkuat kuasa Jumaat.

Menurut Tengku Razaleigh, tindakan menyokong pembangkang itu jelas melanggar peraturan dan perlu dikenakan tindakan.

“Kita tidak memerlukan pembelot malah ia juga tidak merugikan parti. Kita berjuang habis-habisan menentang pembangkang, tapi orang kita pergi sokong.

“Ia jelas membuktikan mereka tikam belakang kita. Kalau dalam peperangan, orang sebegini dah boleh tembak tapi dalam parti, kena buang pembelot.

“Bagaimanapun, kita tidak merasakan tindakan mereka itu menjejaskan parti kerana kita sendiri tidak memerlukan pemimpin seperti itu,” katanya selepas merasmikan Dewan Semai Bakti, Felda Chiku 3, di sini pada Ahad.

BACA: Pemecatan Rafidah dan Daim adalah wajar - Mustapa

BACA: Daim akui pernah cadang GST zaman Mahathir


Terdahulu, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, keanggotaan dua veteran Umno itu digugurkan susulan tindakan mereka menyokong pembangkang.

Beliau berkata, Tan Sri Dr Rais Yatim pula masih disiasat berhubung isu sama sebelum tindakan seterusnya diambil.

BACA: Mereka veteran UMNO, mereka tahu cara nak tegur - Hishammuddin

BACA: Rafidah dan Daim digugurkan, Rais disiasat