Polis mengarahkan kepada penganjur Forum PRK Sandakan, iaitu Bersih2.0 Sabah untuk membatalkan penganjuran forum tersebut.

Bagaimanapun, Naib Pengerusi Bersih2.0 Sabah, Beverly Joeman berkata pihak polis gagal untuk menerangkan dengan jelas kesalahan pilihan raya yang dilakukan oleh pihaknya hingga forum tersebut perlu dibatalkan.

“Sebenarnya, kami diberitahu awal pagi ini bahawa PP-KPR (Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya) akan menghentikan forum ini. Kami terus mencari jawapan sama ada kita ada melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya atau mana-mana (peruntukan lain).

“Apabila kami bertanya kepada Ibu Pejabat Bersih 2.0, memang tidak ada keperluan untuk memohon permit sebab ini di luar kawasan (Parlimen) Sandakan. Ini adalah forum di tempat tertutup dan Bersih juga pernah mengadakan forum seperti ini di Cameron Highlands. Permit polis pun tidak diperlukan,” katanya kepada media selesai sesi forum berkenaan.


Pihaknya bertindak meneruskan forum tersebut yang diadakan di Hotel Labuk, Bandar Labuk Jaya yang terletak di dalam Parlimen Libaran - hampir 20 kilometer dari pusat bandar Sandakan.

“Pagi tadi, pegawai polis ada bertanya kepada kami, dia pun memaklumkan kepada kami tentang keperluan permit polis itu. Tapi bila ditanya apakah seksyen atau akta yang digunakan, mereka (polis) tidak dapat menjawab.

“Cuma mereka memberitahu bahawa yang penting mereka telah memaklumkan keada kami (Bersih) bahawa forum sebegini memerlukan permit. Bagi kami, kami sudah tanya semua pihak, memang tiada keperluan,” tegasnya.

Forum yang bermula 10 pagi itu menyaksikan penyertaan tiga calon bebas iaitu Hamzah Abdullah, Sulaiman Abdul Samat dan Chia Siew Yung.

Manakala, dua lagi calon iaitu Vivian Wong Shir Yee mewakili DAP dan calon Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Linda Tsen Thau Lin tidak hadir atas alasan jadual yang padat.