ANGKATAN Belia Islam Malaysia (ABIM) merafak sembah di atas perkenan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, AlSultan Abdullah Ri'ayatiddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah, untuk melantik Ahli Parlimen Tambun, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10.

ABIM turut menyembah Takzim titah pandangan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu yang turut memberi pandangan dalam proses untuk Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuaan Agong berkenan melantik Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Dalam masa yang sama, ABIM memuji kematangan rakan gabungan politik yang berlapang dada untuk mendukung pembentukan Kerajaan Perpaduan bagi memastikan isu asasi rakyat dapat diselesaikan dengan segera.

Sesungguhnya kematangan yang ditonjolkan ini harus disambut oleh segenap lapisan rakyat sebagai timbal balik dengan memberi dukungan penuh kepada Kerajaan Perpaduan Malaysia yang dipimpin oleh YAB Dato Seri Anwar Ibrahim ini.

Semoga kerajaan yang dibentuk ini dapat sama-sama meraikan peranserta pemegang taruh utama masyarakat untuk memastikan manfaatnya dapat dirasai setiap kelompok serta segenap lapisan warga Malaysia.

ABIM turut mendoakan semoga pelantikan ini akan merintis keharmonian politik berasaskan kepada semangat perpaduan yang dilandaskan pada peribahasa "Biduk lalu kiambang bertaut".

Rakyat dan negara memerlukan kepimpinan yang dinamik dan inklusif untuk bangkit semula mengatasi pelbagai cabaran yang berlaku sepanjang beberapa tahun yang lalu.

Muhammad Faisal Bin Abdul Aziz
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)