Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) pada Khamis menyerahkan Nota Cadangan Pindaan Peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak susulan tindakan pihak pembangkang yang didakwa biadap terhadap Institusi Diraja.

Presidennya Datuk Ibrahim Ali berkata beliau bersama 10 lagi pemimpin PERKASA menghantar Nota Cadangan itu di Kediaman Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

“PERKASA dengan tegas tidak mahu lagi peristiwa yang berlaku di Dewan Undangan Negeri Perak, di mana peristiwa ini boleh disifatkan sebagai menghina kemuliaan Institusi Diraja.

“PERKASA begitu serius dengan isu tingkah laku dan perbuatan ADUN-ADUN Pakatan Rakyat terutamanya dari segi pakaian berwarna hitam dan ada yang tidak bersongkok sebagai protes kepada beberapa isu yang berbangkit.

“Melakukan protes semasa Perasmian Persidangan Dewan yang dihadiri DYMM Tuanku adalah perbuatan biadap dan tidak boleh dibenarkan lagi berlaku.

"Mereka boleh melakukan apa jua protes tetapi tidak semasa keberangkatan DYMM Sultan Perak dalam apa jua majlis sekalipun," katanya dalam satu kenyataan media.

BACA: Pembangkang biadab pakai serba hitam pada istiadat pembukaan sidang dewan - Zambry

Beliau berkata bagi mengelak kejadian itu berulang, pihaknya mencadangkan supaya Peraturan Mesyuarat DUN dipinda.

“Cara terbaik adalah meminda Peraturan Mesyuarat DUN supaya menghalang dan mencegah perbuatan yang bersifat biadap dan kurang ajar kepada Institusi Diraja.

“PERKASA mencadangkan supaya Zambry sebagai Menteri Besar Perak mengambil insiatif ini dengan meminda Peraturan Mesyuarat DUN.

“Antara pindaan mesyuarat yang mesti dilakukan ialah menyebut syarat bahawa sempena Persidangan Mesyuarat Dewan yang dihadiri DYMM Tuanku selaku Ketua Kerajaan Negeri, semua ADUN mestilah berpakaian rasmi yang ditetapkan,” tambah Ibrahim.

Beliau juga berkata tidak ada apa-apa tindakan boleh dilakukan semasa DYMM Tuanku Bersemayang dan semasa berangkat merasmikan Persidangan DUN.

BACA: Isu berpakaian hitam, beberapa wakil rakyat pembangkang menyesal - Zambry

“Hukuman bagi mana-mana ahli yang melanggar peraturan yang ditetapkan hendaklah dirujuk kepada Jawatankuasa Hak atau Kebebasan Ahli Dewan dan jika didapati bersalah hendaklah dikenakan tindakan terlucut sebagai Anggota Dewan Negeri serta merta dan tidak boleh bertanding mana-mana Pilihanraya selama sepenggal.”

Beliau juga berkata mereka yang terbabit boleh juga didakwa sebagai penjenayah di mahkamah sivil.

BACA: Isu seragam hitam, Sultan Nazrin murka tindakan ADUN pembangkang - Zambry