Di sebalik kehangatan berkempen pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11, rata-rata masyarakat tanpa mengira ideologi dan fahaman politik di Sarawak masih dapat berkempen secara harmoni biarpun di kawasan perumahan atau kampung yang sama.

Situasi itu juga dapat diperlihat antaranya, di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) N55 Nangka yang mempamerkan toleransi melalui susunan menarik poster-poster calon bertanding.

Tinjauan Astro AWANI ke Kampung Baru mendapati pintu gerbang utama kampung berkenaan dihiasi dengan bendera Barisan Nasional (BN) dan DAP yang disusun sebelah menyebelah.


rata-rata masyarakat tanpa mengira idealogi dan fahaman politik di Sarawak masih dapat berkempen secara harmoni
Menurut salah seorang penduduk, Mohamed Ali Ismail, 50, hubungan silaturrahim penduduk di kampung ini cukup erat, biarpun mempunyai ideologi politik yang pelbagai.

"Kita bawa kita punya bendera Barisan (BN), saya bawa bendera Keadilan (PKR). Kita tidak bergaduh, tidak mengapa. Semua akan pasang bendera dan poster sama-sama," katanya.

Ini kerana mereka sedar, calon pilihan raya akan datang dan pergi.

Namun hubungan akrab antara satu sama lain perlu dikekalkan demi keharmonian penduduk.

"Kempen parti ini cuma berapa hari sahaja, kita kempen lebih kurang 10 hari, siapa menang siapa kalah selepas itu, kehidupan kami penduduk kampung tetap berjalan seperti biasa."

"Contohnya, kalau isteri saya undi BN, saya undi PKR. Macam mana mahu gaduh? Nanti sudah habis parti pun tidur sama-sama. Memang kita perlu bekerjasama, jangan gaduh sesama sendiri," katanya.


Antara tarikan di kampung ini juga adalah "kerusi pelamin" dihiasi poster dan bendera calon bertanding yang disediakan penduduk kampung sendiri.

Sebuah kerusi dihiasi bendera BN dan poster calon BN DUN Nangka, Dr Anuar Rapaee manakala kerusi sebelahnya, bendera PKR dan poster calon PKR, Abdul Rafidin Majidi dengan tulisan tertera "yang mana satu idaman kalbu?"

Tinjauan Astro Awani ke Kampung Baru mendapati pintu gerbang utama kampung berkenaan dihiasi dengan bendera BN dan DAP yang disusun sebelah menyebelah.
Dun Nangka akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru, Calon BN Dr Annuar akan mempertahankan kerusi itu dengan ditentang calon Parti Reformasi Negeri (STAR) Simon Tiong dan calon PKR Abdul Raafidin Majidi.

Proses pengundian bakal berlangsung pada 7 Mei ini.

Untuk liputan menyeluruh Sarawak Memilih, ikuti kami di saluran berita segenap dimensi 501 Astro AWANI atau layari sahaja astroawani.com