GEORGE TOWN: Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang lebih berminat mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada pertengahan tahun ini dan mengharapkan penjelasan yang lebih baik mengenai tempoh masa yang sesuai untuk PRN, kata pengerusinya Chow Kon Yeow.

Beliau berkata tidak sepatutnya ada mainan teka-teki mengenai PRN dan tarikh kemungkinan pembubaran DUN perlu diputuskan dan diumumkan lebih awal daripada biasa.

"Dengan berbuat demikian, saya fikir rakyat akan menjangkakan bahawa kami sudah mempunyai tarikh dalam fikiran. Semua orang boleh membuat persiapan untuk pilihan raya, malah parti politik dan calon juga boleh membuat persiapan dengan lebih kepastian.

"Kepastian dari segi tarikh pilihan raya negeri juga akan membantu menstabilkan suasana politik," katanya kepada Bernama selepas mengedarkan limau mandarin menjelang sambutan Tahun Baharu Cina, di sini, hari ini.

Chow berkata persediaan PH untuk PRN sedang berterusan dan semalam mereka mengadakan mesyuarat untuk membincangkan perkara itu termasuk masa untuk pilihan raya dan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN).

"Mesyuarat juga memutuskan bahawa kami lebih suka pilihan raya diadakan pada pertengahan tahun ... Mei, Jun atau Julai. Tetapi ini tertakluk kepada pertimbangan yang lebih besar oleh PH pusat," kata Chow, yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Enam negeri - Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu - perlu mengadakan PRN masing-masing, tahun ini.

Mengenai kerjasama dengan BN pada pilihan raya negeri, Chow, yang juga pengerusi DAP Pulau Pinang, berkata PH negeri sedang menunggu arahan daripada pemimpin PH di peringkat nasional.

Chow berkata, prestasi baik Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan parti politik lain.

Beliau mendakwa pengundi Melayu secara umumnya telah menolak UMNO pada PRU15 dan undi mereka diberikan kepada PN dan bukannya PH.

"Jadi secara tiba-tiba, ini menjadi isu untuk semua parti politik mengambil kira apa juga strategi yang ingin mereka susun untuk menghadapi pilihan raya negeri tahun ini," katanya.

Beliau berkata prestasi Kerajaan Perpaduan dalam enam bulan pertama akan mempengaruhi keputusan pilihan raya negeri.

-- BERNAMA