Iskandar Puteri sebuah pekan yang pesat dibangunkan seiring dengan pembangunan Johor sebagai negeri maju dalam dekad akan datang.

Pembangunan pantas di Iskandar Puteri atau nama asalnya Gelang Patah ini mendapat tempias daripada Nusa Jaya iaitu pusat pentadbiran baharu Johor.

Dengan kedudukannya itu, Iskandar Puteri yang terletak dalam Wilayah Iskandar Malaysia dijangka muncul sebagai sebuah bandar raya bertaraf antarabangsa dilengkapi pelbagai kemudahan.

Bagi Mohd Hafiz Mohd Rezuan, 30, semua itu tidak bermakna jika Iskandar Puteri tidak digerakkan oleh bangsa Johor itu sendiri.

Mohd Hafiz Mohd Rezuan

“Orang muda perlu meningkatkan kemahiran insaniah diri masing-masing dan ilmu untuk untuk bersaing di peringkat antarabangsa kerana keterbukaan pasaran di masa hadapan itu amat luas,” katanya.

Mohd Hafiz juga berazam mahu membantu anak muda lain agar menjadi sebahagian daripada kejayaan Iskandar Puteri dan bukan sekadar menjadi penonton pembangunan.

Katanya, penyertaan orang muda dalam pembangunan Iskandar Puteri boleh dibuat dalam pelbagai cara tetapi pucuk pangkalnya seseorang itu perlu ada ilmu dan kemahiran agar tidak tercicir dalam kepesatan pembangunan.

“Dari segi pembangunan di Johor sudah berada di hadapan tetapi anak-anak muda juga tidak boleh ketinggalan dalam hal seperti kewangan kerana kewangan adalah sesuatu benda yang sangat penting," katanya.

Astro AWANI turut mengajukan kebimbangan Mohd Hafiz ini kepada bakal wakil rakyat yang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar yang terletak di dalam Parlimen Iskandar Puteri.


Menurut calon BN bagi kerusi DUN Kota Iskandar, Muhammad Khairi A. Malik dia mengambil maklum hal itu dan mempunyai perancangan agar anak muda Johor tidak ketinggalan.

“Saya tahu di Kota Iskandar ini memang akan banyak peluang-peluang pekerjaan mahupun perniagaan yang terbuka, jadi mereka mesti dilengkapkan dengan ilmu dah kemahiran dengan sebaiknya.

“Dalam manifesto Iskandar Puteri kita hendak mewujudkan satu portal pekerjaan dinamakan Iskerjaya yang mana kami bekerjasama dengan syarikat-syarikat yang berada di dalam kawasan pembangunan Iskandar Puteri.

"Kerjasama ini bagi mencipta peluang pekerjaan terutama bagi mereka yang berdaftar melalui portal Iskerjaya," katanya.

Sementara itu bagi calon AMANAH, Dzulkefly Ahmad, dia akan memfokuskan kepada pekerjaan berkemahiran tinggi dan berketerampilan untuk anak muda bagi melengkapi pembangunan di Iskandar Puteri.

“Kita akan menyahut cabaran Revolusi Industri (IR) 4.0, ini adalah hala tuju kepada negara-negara maju yang mana bidang teknikal dan vokasional diberikan perhatian,” ujarnya.

Kerusi DUN Kota Iskandar atau sebelum ini dikenali Nusa Jaya yang mempunyai 67,371 pengundi​​​​​​​ berdaftar bagi PRU14, dimenangi BN menerusi Dr Zaini Abu Bakar pada PRU13.