Pembangkang semakin bercelaru apabila gagal berpakat untuk meletakkan hanya satu calon di Pilihan Raya Kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ipoh Barat, Syamsul Baharin Putra Ahmad Shibi berkata, situasi itu menyebabkan rakyat semakin hilang keyakinan terhadap pembangkang.

Selain itu jelas Syamsul, terkuburnya Pakatan Rakyat membuktikan apa sahaja gabungan yang dinamakan mereka hanya bersifat sementara dan boleh terlerai pada bila-bila masa sahaja.

"Perbalahan itu bermotif mahu menunjuk kuasa selain mempunyai agenda peribadi yang tidak boleh disembunyikan lagi

"Saya dapati seolah-olah pembangkang ketandusan calon sejak perpecahan Amanah bersama Pas.

"Saya nampak mereka sering berbalah dan bagaimana rakyat hendak mengharapkan seorang Ahli Parlimen untuk menggalas tanggungjawab Kuala Kangsar jika mereka bersikap begini," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Syamsul mengulas pengisytiharan calon Parti Amanah Negara (Amanah) iaitu bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Dr Ahmad Termizi Ramli dan calon Pas Dr Najihatussalehah Ahmad di Kuala Kangsar.

Sebelum ini, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengakui tidak mungkin bagi sesebuah parti dapat menampilkan calon yang sempurna.

Amanah ditubuhkan oleh sekumpulan pemimpin Pas yang diketuai Mohamad Sabu selepas mereka tewas dalam pemilihan pucuk pimpinan parti itu tahun lepas.

Abdul Hadi juga menegaskan, Pas tidak mahu lagi bekerjasama dengan pembangkang yang menyertai Pakatan Harapan memandangkan selama ini parti itu banyak berkorban untuk menyelamatkan reputasi pakatan pembangkang.

Dalam pada itu kata Syamsul, pemilihan calon Barisan Nasional (BN), Datin Mastura Mohd Yazid adalah kesinambungan untuk masyarakat Kuala Kangsar sendiri meneruskan perjuangan suami Mastura, Allahyarham Datuk Wan Khair-il Anuar Wan Ahmad sendiri.