Selepas lapan hari krisis politik melanda negara, akhirnya segala persoalan mengenainya terungkai apabila Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri kelapan pagi tadi.

Kebanyakan parti menyatakan sokongan terhadap pelantikan itu dengan Parti Bersatu Sabah (PBS) berpendirian memilih untuk kekal neutral dan tidak menjadi sebahagian daripada mana-mana gabungan politik, bebas dan tidak terlibat dalam semua urusan dan ketidaktentuan politik.

"PBS kekal mesra kepada kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri baharu dan menyokong semua langkah baik yang akan memanfaatkan Malaysia, terutamanya rakyat Sabah, baik dasar mahupun program yang akan memastikan kemakmuran dan perpaduan rakyat berbilang kaum negara kita," kata Presidennya Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dalam kenyataan pada Ahad.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan Bersatu Sabah Khairul Firdaus Akbar Khan pula menyeru semua ahlinya untuk kekal positif bagi memastikan kesepakatan dapat terus diperkukuh tanpa sebarang unsur negatif.

Bersatu Sabah akan sentiasa menyokong usaha pimpinan tertinggi parti dan berharap semua ahli parti melaksanakan peranan masing-masing, katanya.

Sementara itu, di TERENGGANU, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri Dr Azman Ibrahim berkata kerajaan negeri itu berharap Muhyiddin dapat bertindak pantas memperbaiki semula sistem perjalanan negara yang bercelaru sejak akhir-akhir ini.

"Rakyat meletakkan harapan tinggi kepada kerajaan baharu agar dapat 'mengisi kekosongan dan menyelaraskan semula' apa yang dibuat kerajaan terdahulu yang terlalu berat untuk digalas dan berharap kerajaan baharu akan diberi kekuatan untuk membuktikan kemampuan mereka," katanya.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu Datuk Razali Idris pula berkata mereka sedia bekerjasama dengan Pas dan UMNO bagi menjayakan agenda pembangunan negeri demi kesejahteraan rakyat.

Di KEDAH, Pesuruhjaya Pas negeri Ahmad Yahaya berkata dalam tempoh lapan hari lepas, suasana politik negara sangat sengit dan mencabar dan berharap dengan pelantikan Muhyiddin itu dapat meredakan keadaan.

Beliau berkata kesejahteraan rakyat dan negara perlu diutamakan.

Di PERLIS, Setiausaha Barisan Nasional (BN) Perlis Azizan Sulaiman meminta semua pihak agar tidak menganggu tugas Muhyiddin sebagai perdana menteri kelapan sebaliknya harus memberi sepenuh sokongan dan kerjasama demi kepentingan rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri itu berkata sepatutnya tidak perlu ada sesiapa yang memprotes kerana pelantikan Muhyiddin mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

-- BERNAMA