KUALA LUMPUR: Datuk Seri Hishammuddin Hussein bersedia untuk bertanding pada Pemilihan UMNO akan datang.

Bekas Naib Presiden UMNO itu, bagaimanapun tidak memperincikan jawatan yang akan direbut oleh beliau.

Sebaliknya tegas beliau yang juga Bendahari Agung Barisan Nasional (BN) berkata, ia perlu menunggu keputusan daripada Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) jika dua jawatan tertinggi dalam parti dipertandingkan atau sebaliknya.

"(Apa pendirian Datuk Seri terhadap dua pemilihan jawatan tertinggi?) Kita kena tunggu mesyuarat PAU kali ini dan kalau sekiranya keputusan PAU hari ini ada pemilihan, saya sendiri tidak keberatan untuk memikirkan untuk bertanding pada pemilihan akan datang.

"(Jawatan apa?) Itu kena tunggu ada pertandingan atau tidak?," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Ucapan Dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sempena PAU2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Sebelum ini, Hishammuddin antara nama yang disebut-sebut akan mencabar jawatan Presiden UMNO pada pemilihan akan datang.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga menyatakan kesediaan untuk berdepan dengan mana-mana individu yang mahu mencalonkan diri bagi jawatan nombor satu parti Melayu itu.

Begitu pun, beberapa pihak menyuarakan pandangan agar dua jawatan tertinggi iaitu Presiden dan Timbalan Presiden tidak wajar dipertandingkan.

BERITA LANJUT MENYUSUL