KUALA LUMPUR: UMNO mesti berkongsi kuasa dengan pelbagai parti lain memandangkan kekuatan parti itu tidak memadai untuk memerintah sendirian, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata UMNO tidak lagi boleh memaksa pelbagai parti menyertai BN sebagai komponen, namun itu tidak bermakna parti itu tidak boleh bekerjasama baik dengan parti lain.

"UMNO mesti berkawan, bersahabat dan sentiasa terbuka untuk berkongsi dan berbahagi demi Malaysia yang berjaya. Jadi, realiti politik kepelbagaian dan prinsip kesederhanaan mesti terus menjadi kekuatan dan pegangan UMNO. UMNO mesti bergerak dan memerintah bersandarkan realiti politik kemajmukan," katanya dalam ucapan penggulungannya pada Perhimpunan Agung UMNO 2024 di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata parti itu tidak lagi boleh menggunakan isu bangsa dan agama sebagai senjata untuk memenangi persaingan kerana sentimen sebegitu sudah tidak sesuai dengan Melayu dalam kurun ke-21.

"Kita mahukan Melayu yang bijaksana dan menjadi pencetus revolusi baharu bagi kemajuan industri, digital dan ekonomi Malaysia. Justeru, segala usaha mesti kita gembleng, agar agenda mengarusperdanakan ilmu pengetahuan, kemahiran dan kebolehsaingan bangsa Melayu disokong dengan bersungguh-sungguh, bukan diambil mudah," katanya.

Seorang lagi Naib Presiden UMNO Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata UMNO perlu menerima hakikat bahawa mereka yang kini memerlukan sokongan orang Melayu, dan bukan sebaliknya.

Beliau berkata keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di beberapa negeri dengan ramai pengundi dari kaum Melayu yang menyaksikan kekalahan teruk parti itu, adalah manifestasi kepada perkara tersebut.

"Di Kelantan kita ada dua (kerusi) Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 45. Di Terengganu kita ada 0 daripada 36. Di Kedah, kita ada 0 daripada 36. Di Perlis kita ada 0 daripada 15. Di Selangor kita ada dua daripada 56. Ini adalah kawasan-kawasan yang ramai Melayu. Kalau betul UMNO perlukan Melayu, macam mana boleh jadi kosong?" katanya dalam ucapan penggulungannya.

Johari juga menegaskan UMNO perlu lebih dinamik dalam menarik semula sokongan orang Melayu serta bertanggungjawab meningkatkan penyertaan golongan Bumiputera dalam perniagaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Beliau berkata daripada sejumlah 354,000 perniagaan MSME milik Bumiputera, 83 peratus ialah perniagaan mikro, dan UMNO mempunyai tanggungjawab untuk meningkatkan keupayaan golongan ini ke tahap lebih tinggi.

"Mereka perlukan dasar dan polisi supaya kita dapat masukkan mereka ini menjadi usahawan berkaliber dan mempunyai peluang untuk berkembang pada masa akan datang," kata Menteri Perladangan dan Komoditi itu.

Naib Presiden Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pula di dalam ucapan penggulungan menggesa setiap ahli dan pimpinan UMNO supaya menjelaskan kekeliruan dalam kalangan orang Melayu bahawa parti dan agama merupakan dua perkara berbeza.

"Bayangkan pihak lawan sanggup mendoakan kehancuran, malahan adakalanya membacakan talkin sebagai satu sindiran seolah-olah UMNO telah mati. Mereka boleh jadi apa sahaja kerana politik.

"Maki hamun, carutan, fitnah dan pembohongan dinormalisasikan melalui kempen-kempen mereka. Jadi adalah menjadi tanggungjawab kita untuk betulkan keadaan ini," katanya.

Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang turut mencadangkan supaya UMNO menubuhkan sekretariat atau unit anak rantau di setiap negeri berikutan sebahagian daripada pengundi terdiri daripada mereka yang tidak tinggal atau menetap di kampung halaman atau tempat mereka mengundi.

Perhimpunan Agung UMNO 2024 berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur bermula Rabu lepas hingga hari ini melibatkan 6,433 perwakilan dari seluruh negara.

-- BERNAMA