BERIKUT adalah kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Omar Ali hari ini berhubung keputusan dua PRK yang baru berlangsung dan cabaran baru Pakatan Harapan (PH):

Keputusan dua PRK yang baru sahaja usai pastinya meninggalkan kesan mendalam terhadap penyokong serta pendokong Pakatan Harapan (PH) khususnya parti Amanah yang telah meletakkan calon bertanding.

Saya sendiri telah meluangkan masa dan tenaga untuk bertugas membantu gerak kerja memenangkan calon PH di Sungai Besar.

Pelbagai analisa dikeluarkan oleh organisasi penyelidikan, ahli akademik, aktivis parti, pemerhati politik, mahupun orang perseorangan yang peduli terhadap perkembangan politik semasa khasnya pasca dua PRK tersebut.

BACA: Rangkuman PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar

BACA: Kebersamaan parti komponen kunci kemenangan BN di Sungai Besar

BACA: PM ucap terima kasih atas kemenangan BN


Pilihan Raya Pasca Amanah, Pakatan Harapan

Pasca penubuhan Amanah dan pembentukan kolasi baharu parti-parti pembangkang membentuk Pakatan Harapan, tidak lain hanyalah mengukuhkan lagi premis bahawa tugas untuk menumpaskan UMNO/BN bukanlah suatu misi mudah.

UMNO BN yang telah mencengkam kuasa kerajaan pusat sejak lebih 50 tahun dengan dilengkapi segala jentera, pastinya tidak akan memberi laluan mudah setiap kali pilihan raya datang menjengah.

Dalam PRU ke-13 sahaja pun, kita menyaksikan UMNO BN mengoptimumkan segala sumber untuk memastikan mereka kekal berkuasa sekalipun dengan undi popular 47% sahaja berbanding 53% sokongan terhadap Pakatan Rakyat ketika itu.

Bersetuju dengan lontaran oleh pengerusi DAP Johor merangkap Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan - Liew Chin Tong, fasa kali ini menyaksikan badai senario politik nasional dalam kerangka membentuk political realignment atau penstrukturan semula politik tanah air.

Mengalih kompas politik Malaysia

Dalam hal ini, cabaran getir Pakatan Harapan adalah untuk mengalih kompas politik tanah air kearah membawa rakyat untuk melihat isu sebenar yang melingkari mereka. Ya, mengalih kompas tersebut dicelah-celah konflik dalaman dihadapi pakatan pembangkang termasuklah juga UMNO BN itu sendiri.

Isu ekonomi yang memberi kesan langsung terhadap kehidupan rakyat perlu digarap kemas agar masuk ke dalam benak pemikiran dan pemahaman rakyat.

PH tidak boleh berputus asa bahkan perlu melipat gandakan usaha dan kekuatan untuk mendidik rakyat memahami isu sebenar yang menghimpit mereka ini.

Skandal 1MDB, cukai GST, pembaziran dana awam dan segala macam rasuah pada saya masih menjadi tajuk besar yang perlu dikemukakan oleh PH.

Maksud saya, PH sudahpun berada pada landasan yang betul. Namun, strategi yang lebih rapi dan tepat sehingga menyentuh akal dan hati rakyat perlu dirangka untuk memastikan kakuatan, kefahaman dan kesedaran mereka berjaya digembeling sehingga mampu diterjemahkan keatas kertas undi menerusi penolakan terhadap UMNO BN.

Politik Lama vs Politik Baru

Dalam skala besar, saya anggap pertembungan kini adalah pertarungan antara politik lama tajaan UMNO BN dengan politik baru yang dibawa oleh PH. Pertembungan ini adalah suatu agenda perlawanan yang amat besar, kritikal dan mencabar dalam pentas demokrasi hari ini.

Agenda mengalih kompas politik tanah air dari politik lama yang berlegar sekitar manipulasi sentimen perkauman/agama, politik beri-ancam-ugut, tawaran 'gula-gula' seperti janji-janji projek yang sifatnya one off pada musim pilihan raya, dan politik menakut-nakutkan rakyat antara satu sama lain perlu ditangani serius menerusi strategi yang benar-benar ampuh dan tersusun oleh PH.

Ada yang mendakwa isu-isu seperti 1MDB dan GST terlalu nasional sifatnya dan tidak berkesan untuk diketengahkan kepada rakyat.

Saya mohon bercanggah dengan pandangan tersebut.

Bagi saya, inilah isu yang menjadi akar permasalahan menyebabkan rakyat marhaen terpaksa menjadi ibarat mengemis di bumi sendiri, bergelut untuk terus hidup sehari-hari.

Rakyat sukar untuk faham isu-isu tersebut? Ya, itulah cabaran untuk menyongsong politik baru yang dijunjung oleh PH.

Teras PH yang berpaksikan semangat keadilan untuk rakyat tidak boleh dikompromi semata-mata untuk menyerang balas sentimen perkauman sempit menerusi politik lama yang dibawa oleh UMNO BN.

Perlawanan terhadap isu-isu seperti skandal 1MDB, cukai zalim GST dan penyalahgunaan dana awam merupakan tunjang kepada paksi keadilan untuk rakyat yang menjadi tulang belakang perjuangan PH.

Politik Baru : Bukan mudah tetapi tidak mustahil

Persoalannya, mampukah politik baru yang ingin ditawarkan oleh PH ini sampai ke pemahaman rakyat dan mendapat tempat bagi menggantikan politik lama tajaan UMNO BN?

Ia bergantung kepada kesungguhan parti-parti PH merangka strategi khususnya menjelang PRU ke-14 yang akan datang.

Ia bukan sesuatu yang mudah lebih-lebih lagi pasca Pilihan Raya Negeri Sarawak dan dua PRK yang menyaksikan kemenangan UMNO BN. Namun ia bukan sesuatu yang mustahil.

PH perlu konsisten bahkan melipat gandakan usaha untuk berjuang demi merealisasikan hasrat membawa arus politik baru ke persada politik tanah air. Segalanya demi rakyat dan demi masa depan Malaysia yang lebih gagah dan sejahtera!