PAS Pulau Pinang akan mengemukakan usul untuk memutuskan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Muktamar PAS Ke-63 di Kota Sarang Semut, Kedah pada 27 April hingga 1 Mei ini.

Menurut Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusof kesemua 13 bahagian PAS di negeri itu, sudah sebulat suara meluluskan usul tidak mahu bekerjasama dengan PKR selepas menilai tindakan PKR sepanjang bekerjasama dengan parti berkenaan dan keputusan itu adalah muktamad.

“Ini menunjukkan bahawa PAS Pulau Pinang sebulat suara dan seriusnya PAS dalam menilai segala tindakan yang dilakukan sepanjang PAS bersama dengan PKR, kita serius sebab tu lahirnya senada. 13 bahagian buat usul pada muktamar supaya memutuskan hubungan tahaluf siyasi dengan PKR,” katanya kepada pemberita selepas Muktamar Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang kali ke-37 di Mengkuang Titi di sini hari ini.

Selain Pulau Pinang, beberapa kawasan PAS di negeri lain khususnya di Selangor dan Terengganu turut membuat keputusan sama dalam Mesyuarat Agung kawasan masing-masing.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Muhammad Fauzi berkata, PAS akan bertanding lebih banyak kerusi di Dewan Undangan Negeri ( DUN) dan Parlimen di Pulau Pinang pada pilihan raya umum ke 14 kelak.

Beliau yakin parti itu akan memberi tentangan sengit kepada Pakatan Harapan serta UMNO.

Ujarnya, PAS tidak akan bersendirian pada PRU14 kelak sebaliknya bakal bekerjasama dengan blok politik ketiga yang terdiri daripada parti politik serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

“Kita telah lancarkan jentera pilihan raya dan kita bersiap sedia InsyaAllah akan bertanding lebih (kerusi) dari apa yang kita bertanding pada PRU lepas dan kita juga punyai rakan yang akan bersama dengan PAS, blok gagasan sejahtera dan akan diumum tidak lama lagi iaitu dari rakan politik dan akan bersama bagi menentang Pakatan Harapan, UMNO dan BN pada PRU akan datang,” katanya lagi.

Pada pilihan raya umum lalu, PAS Pulau Pinang bertanding di enam kerusi DUN dan dua kerusi Parlimen.

PAS hanya memenangi satu kerusi DUN iaitu DUN Permatang Pasir menerusi calonnya, Datuk Mohd Salleh Man.