PAS Selangor akan menambah lima lagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, hasrat itu sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan 25 kerusi untuk parti itu di negeri tersebut.

"Kita akan tambah lagi lima kerusi selepas ini. Sebelum ini, kita bertanding 20 kerusi di Selangor.

"Kerusi itu akan dimaklumkan kemudian namun keputusan itu diperolehi selepas kajian dan permintaan daripada akar umbi parti sendiri," katanya semasa berucap pada Ijtima' Pilihan Raya PAS Selangor di sini hari ini.

Pada PRU ke-13 lalu, PAS berjaya memenangi 15 daripada 56 kerusi DUN Selangor.

Bagaimanapun, tindakan dua daripada ADUN mereka yang mengambil keputusan untuk menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH) menyaksikan PAS kini mempunyai 13 ADUN di Selangor.

Katanya, PAS juga bakal berdepan AMANAH sebagai musuh baru selain DAP namun pihaknya mahu jentera pilihan raya mereka terus utuh mempertahankan kerusi sedia ada.