JELEBU: Setiap parti politik di negara ini perlu bersatu padu dalam usaha membentuk sebuah masyarakat berbilang kaum yang lebih harmoni, kata Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim.

Tokoh veteran politik itu berkata sikap sesetengah pemimpin politik yang hanya mendukung cita-cita politik masing-masing perlu diubah dan membuat pembaharuan yang lebih baik untuk menyatukan serta memupuk semula perpaduan dalam kalangan masyarakat.

"Kebanyakan parti politik hanya mendukung cita-cita politik sendiri sahaja. Jangan lupa sejarah, (kalau mengikut) sejarah, kita (semua kaum) sejak dahulu ada bersama, bukan seorang diri.

"Semua parti mesti ada agenda kebersamaan rakyat Malaysia, itu penting bagi kita, jika lupa carilah semula sejarah kita," katanya ketika berucap merasmikan Laman Budaya Kampung Chennah yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chennah Anthony Loke Siew Fook di sini, semalam.

Rais berkata aspirasi yang dibawa oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melalui kerjasama bersama parti pembangkang merupakan contoh terbaik dalam menjayakan Keluarga Malaysia dan perlu dijadikan teladan.

Dalam perkembangan lain, Loke yang juga Setiausaha Organisasi DAP berkata DAP Negeri Sembilan berkata beliau akan melihat prestasi kesemua ADUN daripada parti itu di negeri itu bagi menentukan sama ada layak untuk dicalonkan semula pada Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang.

Beliau berkata salah satu Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang akan dipantau parti berkenaan adalah agihan peruntukan ADUN kepada masyarakat dalam membantu meringankan beban rakyat selain prestasi dalam menjalankan tugas dan tangungjawab dengan baik.

"Ia akan dipantau sepanjang masa, jadi saya pesan kepada semua ADUN supaya menguruskan peruntukan dengan sebaik-baiknya dan pastikan ia disalurkan kepada rakyat dengan cepat," katanya.

-- BERNAMA