Pakatan Harapan masih lagi belum memuktamadkan calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 akan datang.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, senarai calon telah dibincang pada mesyuarat Majlis Presiden Pakatan, tetapi ia hanya akan diumumkan kemudian.

Beliau berkata, dalam mesyuarat itu hanya persetujuan bertanding satu lawan satu di Sarawak dicapai iaitu membabitkan antara Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP, dan Parti Amanah Negara (Amanah) .

"Kita sudah mencapai persetujuan dan tidak ada pertindihan antara kami, dengan kami akan bertanding satu lawan satu di Sarawak. Kami telah lama bersiap sedia, terutama bagi mereka yang berada di Sarawak. Kami masih melakukan perincian mengenai perkara ini," katanya pada sidang media Majlis Presiden Pakatan Harapan di Ibu Pejabat PKR di sini, hari ini.

Beliau berkata, mesyuarat hari ini juga tidak membincangkan strategi mengambil alih pentadbiran Sarawak daripada Barisan Nasional (BN).

"Kami tidak berbincang lagi mengenai bagaimana untuk mengambil alih Sarawak. Kami bincang bagaimana untuk menang dalam PRN ke-11. Kami berusaha yang terbaik untuk memenanginya," katanya.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak telah dibubarkan pada Isnin bagi membuka laluan kepada PRN-11.

Dalam PRN-11 82 kerusi akan dipertandingkan.

Setakat ini, hanya Amanah telah memutuskan untuk bertanding sebanyak 13 kerusi di PRN Sarawak, dengan kesemua calon yang diletakkan di kawasan berkenaan adalah kalangan anak jati Sarawak.

Pada Pilihan Raya Negeri ke-10 lalu, pembangkang yang diwakili Pakatan Rakyat berjaya memenangi 15 kerusi DUN iaitu 12 DUN milik DAP manakala 3 DUN milik PKR.