Tiada istilah ‘kerajaan pembangkang’ yang boleh mencerminkan kerajaan Pakatan Harapan Selangor ketika ini susulan komposisi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) didahului oleh majlis pimpinan Keadilan negeri itu.

Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Selangor, Amirudin Shari, kerajaan negeri Selangor adalah kerajaan yang sah dan ia dipilih dengan majoriti yang besar.

“Dengan 43 kerusi lawan 13 kerusi, kita sudahpun mencapai dua per tiga majoriti.

“Jadi, tiada istilah kerajaan pembangkang, kerajaan pusat, kerajaan tengah, hujung, tepi,” kata Amirudin.

Dalam masa sama, beliau yang juga Menteri Besar Selangor, akan memastikan hubungan antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat berlangsung secara profesional.

“Saya berharap mereka (kerajaan persekutuan) tidak akan mengulangi kerakusan pimpinan Barisan Nasional yang selalu memberikan tekanan dan juga tindakan-tindakan yang keras yang tidak bertanggungjawab pada pentadbiran kerajaan,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di sini pada Khamis.

Tambah beliau, Pakatan Harapan Selangor bertegas sepakat untuk menolak sebarang cubaan mengganggu-gugat mandat rakyat yang dianggap sebagai mempertahankan mandat yang telah diberikan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu.

Dalam perkembangan sama, beliau turut mengesahkan bahawa pentadbiran Negeri Selangor kini tidak lagi dianggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

BACA: Pentadbiran negeri Selangor tidak lagi dianggotai Bersatu - Menteri Besar