Presiden Penaja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin diminta berhenti berfantasi membayangkan kekalahan UMNO pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, Muhyiddin juga seharusnya menumpukan lebih banyak masa memperkemas parti baharu mereka yang baru hendak mengenal dunia.

"Apa yang dikatakan Muhyiddin jelas satu kenyataan halusinasi. Kita minta Muhyiddin berhenti bermimpi di siang hari dan memberi tumpuan kepada usaha memperkemaskan parti baru serpihan mereka.

"Hakikatnya pimpinan dan ahli UMNO beroleh kekuatan dan semangat baru menerusi amanat pucuk pimpinan yang terserlah menerusi sambutan hangat Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian di 191 kawasan seluruh negara.

"Amanat pimpinan tertinggi parti membawa mesej perpaduan dan kepentingan untuk setia pada perjuangan telah memberi satu penyegaran kepada semua pimpinan UMNO di peringkat akar umbi," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

BACA: Kenyataan negatif bekas pemimpin jadi cabaran pastikan kemenangan BN - Ismail Sabri

BACA: Ramalan BN hilang kerusi Parlimen: Noh Omar nafi kenyataan Muhyiddin


Muhyiddin dalam satu majlis di Selangor berkata, kajiannya mendapati 67 kerusi terumbang-ambing di bawah BN dan jika empat peratus daripada kerusi itu 'swing' (berubah angin), maka 45 peratus kerusi BN akan jatuh kepada pembangkang.

Dalam pada itu tegas Shaiful, UMNO dan Barisan Nasional (BN) bukan sahaja dilihat lebih bersemangat, malah akan kembali bangkit dengan lebih gah pada PRU depan.

"Jelas setiap kali menghadapi cabaran dan ujian lazimnya UMNO lebih berpadu di bawah pucuk pimpinan dalam satu jemaah organisasi yang kukuh. Hakikatnya, ini bukan pertama kali UMNO mengalami krisis, setiap krisis nyata sekali mematangkan kepimpinan dan ahli parti.

"Saya menasihatkan, lebih elok jika struktur pengurusan dan perebutan kuasa dalam parti Bersatu dituntaskan daripadaa Muhyidin terus dengan retorik halusinasinya.

"Kekecewaan bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairudin Abu Hassan dan penarikan diri anak bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Ghafar Baba, Tamrin Abdul Ghaffar bukti jelas sudah ada persaingan dalaman sebelum parti Bersatu diluluskan. Ia membuktikan parti Bersatu tidak mampu kekal relevan dan memberi saingan kepada parti lain khususnya BN," ujarnya.

BACA: Tamrin Ghafar tarik diri dari Seketariat Deklarasi Rakyat

BACA: Dakwaan BN hilang 45 kerusi dalam PRU14 tidak tepat


Jelasnya lagi, parti Bersatu juga seharusnya perlu lebih praktikal dengan menerangkan agenda dan dasar parti mereka yang masih bercelaru.

"Hakikatnya Bersatu belum ada hala tuju yang jelas dan niat penubuhannya adalah hanya ingin memuaskan kemarahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan beberapa golongan yang kecewa akibat hilang jawatan dalam kerajaan.

"Berbanding dengan kematangan dan pengalaman UMNO yang sudah 70 tahun disuntik kematangan, membuktikan kejayaan dan segala rekod ini sekali lagi akan dipersembahkan pada rakyat untuk memperoleh mandat baru dalam PRU ke-14 kelak," katanya.

Tambah Shaiful, UMNO hakikatnya bukan sahaja lebih bersedia malah kini dengan strategi berkesan dan kekentalan semangat barisan ahli dan pimpinannya yang jelas lebih kukuh berpadu.

"Halusinasi Muhyiddin bukan sahaja akan ditamatkan malah pencapaian UMNO kali ini akan pasti mengecewakan barisan pakatan pembangkang," jelasnya.