KUALA SELANGOR: Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Zulkafperi Hanafi tidak berganjak untuk terus menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meskipun keahlian beliau dilucutkan daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).


Ringkasan AI
  • Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Zulkafperi Hanafi, tetap menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meskipun telah dilucutkan keahlian daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Beliau menegaskan keputusan ini muktamad dan tidak akan berubah.
  • Zulkafperi mempersoalkan keabsahan pelucutan keahliannya daripada Bersatu, termasuk butiran mesyuarat pemecatan dan status ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang didakwa tidak sah mengikut perlembagaan parti.
  • Zulkafperi telah menghantar surat kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, memohon untuk mengkaji notis pengosongan kerusi yang dihantar oleh Bersatu. Beliau akan mempertahankan kerusinya, termasuk melalui proses mahkamah jika perlu.


Zulkafperi berkata, keputusan diambil beliau jelas untuk menyokong kerajaan sedia ada dan tidak sesekali membuat pusingan U.

"Bagi saya tidak ada jalan pusing balik ke belakang kerana keputusan (menyokong Anwar) muktamad," katanya pada sidang akhbar di Bilik Mesyuarat Pusat Khidmat Parlimen Tanjong Karang di sini pada Ahad.

Zulkafperi berkata, sebelum ini, beberapa surat pertanyaan telah dihantar kepada Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berhubung keabsahan pelucutan keahlian beliau daripada Bersatu.

"Ada beberapa isu timbul berhubung surat pemecatan dan saya memberi pertanyaan antaranya bilakah mesyuarat (pemecatan) itu diadakan dan siapakah yang hadir dalam mesyuarat tersebut serta minit mesyuarat.

"Saya juga mempersoalkan tempoh tamat MPT (Majlis Pimpinan Tertinggi) Bersatu adakah ia telah tamat pada 2023 atau dilanjutkan serta bolehkah MPT bermesyuarat dan mengeluarkan arahan kepada saya sepanjang tempoh tersebut," ujar beliau.

Menurut beliau, status dua ahli dalam MPT Bersatu juga dipersoal kerana dianggap tidak sah kerana keahlian mereka tidak mengikut perlembagaan Bersatu.

"Bersatu tidak lagi dikekalkan sebagai khusus untuk orang-orang Melayu dan pribumi jadi pindaan ini tidak dimaklumkan dan mengikut AGM (Mesyuarat Agung Tahunan) serta persetujuan daripada ahli," jelas beliau.

Sehubungan itu, katanya, beliau menyerahkan sepenuhnya kedudukan kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul susulan notis pengosongan kerusi yang dihantar Bersatu.

"Saya telah menghantar surat kepada Speaker pada 27 Jun lalu bagi memaklumkan tindakan Bersatu tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan.

"Parti juga tidak boleh buat apa kerana Bersatu hanya memberitahu keahlian kami terhenti dan semua itu adalah atas kebijaksanaan dan budi bicara Speaker itu sendiri.

"Kita serah kepada Speaker terlebih dahulu bagi mengeluarkan petua atau keputusannya, namun selaku ahli Parlimen, saya akan mempertahankan kerusi ini termasuk proses seterusnya ke mahkamah," tambah beliau. - Sinar Harian