KUALA LUMPUR:Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan menegaskan, gabungan parti politik di bawah Perikatan Nasional (PN) masih lagi berjalan dengan baik dan tidak berlaku sebarang pergolakan seperti mana yang didakwa segelintir pihak.

Dalam ciapan di akaun Twitternya, Takiyuddin berkata, sama ada Muafakat Nasional (MN) mahupun PN, apa yang pasti kedua-duanya tidak mempunyai banyak perbezaan malah lebih banyak memiliki persamaan.

“MN dan PN tidak banyak perbedaan keduanya, malah yang lebih adalah persamaan. Ibarat lauk berbagai dihidangkan, di meja makanlah dinikmati pemakannya.

“Berbagai pandangan yang diutarakan, di meja rundingan dirungkaikan penyelesaian, berunding pasti selesai, semua ada peranannya,” kata beliau pada Jumaat.
 
PN merupakan gabungan yang diteraju oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menerajui kerajaan Persekutuan dengan kerjasama Umno, Pas serta sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Sementara MN pula merupakan gagasan kerjasama antara Pas dan Umno sebelum disertai Bersatu pada Ogos lalu.

Sebelum ini, sebahagian pemimpin Umno ada menyatakan rasa tidak puas hati terhadap Bersatu berhubung jawatan Ketua Menteri Sabah selepas Pilihan Raya Negeri Sabah baru-baru ini.


BACA: Muhyiddin setuju Bersatu sertai Muafakat Nasional - Takiyuddin