SELEPAS beberapa siri kem politik mengadakan mesyuarat serentak hari ini, situasi nampaknya semakin 'panas' selepas pemimpin atasan UMNO dilaporkan sudah tiba di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), sebentar tadi.

Kemas kini di laman Twitter Tan Sri Annuar Musa sekitar sejam lalu memaklumkan pemukiman UMNO dengan pemimpin Pas yang diadakan di Janda baik, Pahang sudah pun selesai selepas kedua-dua parti itu mengadakan pertemuan sejak Sabtu.

“Kedua-dua parti sepakat untuk terus bersama membawa panji-panji Muafakat Nasional (MN).

“MN akan mengorak langkah bersama menjalin muafakat secara yang lebih istiqamah,” demikian kata Setiausaha Agung UMNO itu, pada Ahad.


Serentak itu, Annuar turut mengesahkan bahawa satu "mesyuarat khas" diadakan pada pukul 4 petang bagi membincangkan perkembangan politik negara.

Setakat ini, antara pemimpin yang dilihat tiba ke PWTC termasuk Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Ketua Wanita, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; dan ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Bagaimanapun, rata-rata pemimpin UMNO enggan mengulas lanjut mengenai agenda pertemuan tersebut.

Dalam perkembangan lain, dilaporkan pemimpin Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) memilih untuk mengunci mulut selepas bermesyuarat selama hampir empat jam.