Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengakui isu berkenaan terlalu menebal hingga menyukarkan kerjasama yang hendak dibuat.
“Dalam kalangan pegawai KSU (Ketua Setiausaha Kementerian) ke bawah, Alhamdulillah sangat memberangsangkan terbuka.
“Kita menghormati pilihan yang telah dibuat tapi di peringkat menteri, timbalan menteri sikap mereka masih tebal sentimen politik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sidang Kemuncak Kerajaan 4 Negeri (SG4) di Hotel Tenera Bandar Baru Bangi pada Isnin.
Muhammad Sanusi berkata, kebanyakan kerjasama yang dijalinkan dengan kita hanyalah untuk bermain politik.
“Mereka jadikan isu kerjasama ini sebagai modal untuk mencemuh kita di hadapan media massa.
“Ini adalah satu amalan saya rasa tidak baik dan kita tak berhasrat untuk lakukan perkara yang sama," katanya.
Tambahnya, kerjasama yang kita tawarkan kepada rakan-rakan di Kerajaan Persekutuan adalah kerjasama penuh ikhlas tanpa syarat. -- Sinar Harian