KOTA KINABALU: Majlis Tertinggi Parti Liberal Demokratik (LDP) yang bermesyuarat hari ini meluluskan usul untuk parti tempatan Sabah itu menyertai Perikatan Nasional (PN).

Presiden LDP Chin Su Phin berkata parti itu membuat keputusan tersebut selepas melihat kesungguhan PN yang diterajui Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyelesaikan masalah rakyat terutama ketika berdepan cabaran COVID-19 ketika ini.

"LDP yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri terutama dalam usahanya memerangi COVID-19 termasuk memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi di saat negara menghadapi pandemik itu.

"Ia satu kenyataan bahawa hanya sebuah parti politik arus perdana yang dapat menyelesaikan masalah rakyat terutama ketika pandemik COVID-19 melanda negara," menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

LDP, yang ditubuhkan pada 1989, sebelum ini merupakan parti komponen Barisan Nasional (BN) sebelum bertindak keluar selepas daripada gabungan itu semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018 dan bekas Presiden parti itu, Tan Sri Chong Kah Kiat merupakan Ketua Menteri Sabah yang ke-13 dari 2001 hingga 2003.

Chin berkata LDP kini fokus untuk persidangan dan pemilihan 28 bahagian parti itu yang akan bermula dari Mei hingga Ogos ini manakala mesyuarat agung tahunan serta pemilihan parti dijadual diadakan pada hujung tahun ini.

"Kami akan memberi peluang kepada ahli muda untuk memimpin. Saya juga menjangkakan sebahagian besar daripada bahagian akan dipimpin golongan muda," katanya.

-- BERNAMA