Datuk Seri Mah Siew Keong menegaskan beliau tidak akan menerima jawatan Senator sekiranya kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Siew Keong berkata, beliau sedar ada pihak yang cuba menghasut masyarakat Cina kononnya beliau akan tetap dilantik sebagai menteri sekali pun tewas di kerusi Parlimen Teluk Intan.

Enggan melayan perkara itu, beliau berkata apa yang menjadi keutamaannya kini adalah memastikan kemenangan terus berpihak kepadanya.

"Sebelum ini, ada parti yang berkata tidak apa jika saya kalah di Teluk Intan kerana saya masih akan dilantik sebagai Senator. Saya ingin mengulangi, ketika saya kalah pada 2013, saya menolak tawaran yang sama. Sama juga pada kali ini, kalau saya kalah, saya tidak akan mengambil jawatan Senator," kata Presiden Gerakan itu pada sidang media di sini, hari ini.

Siew Keong yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata, beliau akan terus mempertahankan kerusi Teluk Intan yang dimenanginya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 2014.

Biarpun kemenangan dengan majoriti hanya 238 undi, beliau yakin dengan segala gerak kerja yang dilakukan Gerakan dalam menarik semula keyakinan masyrakat Cina, kemenangan pasti berpihak kepada parti itu.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menegaskan, Gerakan ketika ini sedang berbincang dengan parti komponen Barisan Nasional (BN) berhubung kemungkinan bertukar antara empat ke lima kerusi parti itu pada PRU14.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan pertukaran kerusi itu tidak melibatkan kerusi milik MCA di Pulau Pinang yang sebelum ini menjadi kebimbangan parti berkenaan.

Katanya, senarai pertama dan senarai pindaan calon sudah diserahkan kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk diputuskan.