KUALA LUMPUR: Pemimpin tertinggi UMNO diminta melupakan sebarang hasrat untuk bekerjasama dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah menegaskan, akar umbi parti mahu meneruskan perjuangan dan melaksanakan tanggungjawab membela rakyat tanpa perlu memikirkan tipu daya yang cuba dimainkan pihak luar yang akhirnya merugikan UMNO sendiri.

"Kami yakin, ahli akar umbi dan rakyat marhaen sendiri dapat berfikir dan menilai kelayakan Anwar selepas apa yang berlaku.

"Sudah-sudahlah menggunakan alasan mahu bekerjasama dengan UMNO. Kami juga mahu menasihatkan Presiden PKR itu untuk pandang sejenak ke cermin, perbetul dan kuatkanlah semula parti anda yang retak menanti belah, barulah bercerita soal hendak mengambil alih kerajaan atau menjadi Perdana Menteri.

"Rakyat sendiri sudah muak dengan permainan dibawa Anwar memanipulasi situasi dan tutur kata tatkala terdesak meraih sokongan. Itu sahajalah yang mampu dibuatnya kerana sehingga hari ini ayat keramat 'I have numbers' menjadi kata nista dan 'bahan jenaka' netizen semata-mata," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

BACA: PKR tidak sekat kerjasama dengan UMNO - Fuziah

BACA: 
Anwar Ibrahim sahkan wujud rundingan PKR dengan UMNO

BACA: Jadi Perdana Menteri? Bukan gagal, cuma belum lagi... - Anwar Ibrahim

Terdahulu, Anwar mendedahkan telah wujud perbincangan tidak rasmi antara PKR dan UMNO.

Ujarnya, perbincangan awal itu melibatkan pimpinan kedua-dua parti dan ia telah menunjukkan perkembangan positif.

Dalam pada itu kata Mohd Hairi, semua ahli UMNO terutama di Johor diharap tidak terpedaya dan termakan dengan permainan politik Anwar.

"Anwar sehingga kini mengatakan tidak menolak kerjasama parti itu dengan UMNO, kononnya mahu memperlihatkan ada daripada parti kita yang turut bersama serta menyuarakan sokongan terhadapnya.

"Apa yang dilakukan Anwar hanyalah diibaratkan seperti peribahasa Melayu, 'angan-angan menerawang langit'.

"Sedangkan, masalah dalaman dalam partinya sendiri masih tidak dapat diatasi, apatah lagi ramai 'nama besar' dalam PKR sendiri angkat kaki meninggalkan beliau keseorangan yang kini berangan Mat Jenin," ujarnya.

Tambahnya, bekas pemimpin PKR lain sudah menyedari diperalat hanya untuk memenuhi kerakusan Anwar untuk menjawat jawatan Perdana Menteri.

"Lihat sahajalah hiraki atau barisan kepimpinan PKR 2018-2021, selain Anwar, siapakah yang anda lihat masih berada dalam posisi jawatan kanan dalam kepimpinan parti itu? Semuanya sudah kosong dan lari meninggalkan PKR.

"Jadi, apa yang beliau lakukan untuk mengukuhkan parti beliau sejak keluar dari penjara ketika PH menang menjadi kerajaan sebelum ini, sehinggalah bertanding dan menang sebagai Ahli Parlimen Port Dickson?

"Tiada apa melainkan merosakkan PKR itu sendiri sehingga ramai angkat kaki meninggalkan beliau. Bukan mahu sibuk mengenai hal 'rumah tangga' orang lain, tetapi ini adalah realiti yang dihadapi PKR ketika ini," tegasnya.