Bekas Timbalan Ketua Cawangan Bersatu Kedai Kuala Balah Rodzi Muhamad berkata keputusan itu, yang membabitkan lapan cawangan dan 18 cawangan Srikandi Bersatu di Bahagian Jeli, turut menyaksikan parti itu dibubarkan hari ini.
Katanya kesemua pimpinan dan ahli Bersatu cawangan itu juga meletak jawatan dan keputusan keluar parti dibuat secara sukarela tanpa paksaan dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak.
Beliau berkata tindakan untuk keluar parti disebabkan keyakinan terhadap Bersatu sudah terhakis dan parti tersebut dianggap bukan parti dominan orang Melayu yang boleh memperjuangkan nasib bangsa itu.
"Bersatu dilihat begitu lemah dalam percaturan politik, dan ini jelas terlihat dalam pemilihan calon Pilihan Raya Kecil Nenggiri," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Rodzi berkata pada masa ini, beliau bersama pimpinan dan bekas ahli Bersatu itu tidak menyokong mana-mana parti dan memilih untuk bergerak bebas.
"....kami melihat Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar lebih berkarisma dan kami yakin PMX (Anwar) boleh memacu negara ke tahap lebih baik demi kesejahteraan dan kebajikan rakyat Jeli," katanya.
-- BERNAMA