PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Zuraida Kamaruddin untuk membatalkan saman PKR yang mendakwa beliau melanggar syarat bon yang mengikatnya kepada parti itu.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dalam keputusan sebulat suara berkata mereka bersetuju dengan dapatan Mahkamah Tinggi bahawa isu kesahihan dan kesahan kontrak di antara Zuraida dan PKR hanya boleh ditentukan melalui perbicaraan penuh.

"Mahkamah perlu mendengar keterangan penuh secara berdokumen mahupun lisan (viva voce) sebelum keputusan dibuat.

"Kami tidak mendapati hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dalam memutuskan isu yang dibangkitkan melalui saman ini yang dirasakan adalah tidak wajar untuk dipertimbang bagi permohonan ini.

"Justeru, rayuan ini ditolak dengan kos RM10,000 dan keputusan Mahkamah Tinggi adalah dikekalkan," kata Vazeer ketika menyampaikan keputusan itu melalui telesidang.

Turut bersidang Datuk M.Gunalan dan Datuk Seri Mariana Yahya.

Panel itu turut memutuskan bahawa selepas mendengar hujahan peguam Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid, yang mewakili Zuraida, dan peguam Ranjit Singh bagi pihak Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Pada 19 Nov 2021, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Zuraida untuk membatalkan saman yang difailkan parti itu pada 28 Sept 2020.

Pernyataan tuntutan PKR mendakwa Zuraida, yang kini Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, telah menandatangani bon itu pada 25 April 2018 yang mengikat dirinya untuk membayar sejumlah RM10 juta berdasarkan terma dan syarat bon tersebut.

PKR mendakwa Zuraida telah bersetuju untuk membayar parti sejumlah RM10 juta selewat-lewatnya tujuh hari sekiranya berlaku beberapa perkara selepas memenangi pilihan raya atas tiketnya seperti meletak jawatan dalam parti atau bergabung dengan pihak lain atau menjadi wakil rakyat bebas.

Parti itu mendakwa pada atau sekitar 24 Feb tahun lepas, Zuraida dalam satu kenyataan bersama 10 Ahli Parlimen PKR yang lain telah mengumumkan peletakan jawatan namun beliau kekal sebagai Ahli Parlimen Ampang iaitu kerusi yang dimenanginya atas tiket PKR dan seterusnya membentuk blok baharu dikenali sebagai Perikatan Nasional.

PKR turut menuntut agar Zuraida membayar RM12,049,459.20 mengikut Seksyen 71 Akta Kontrak, faedah lima peratus setahun, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

-- BERNAMA