SERAMAI 133,751 pengundi P017 Padang Serai, Kedah tidak membuang mengundi pada Sabtu 19 November lepas sebaliknya mereka akan mengundi pada Rabu 7 Disember ini.

Ini berikutan kematian calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen itu, M Karupaiya di Hospital Kulim dipercayai akibat serangan jantung dan komplikasi kesihatan.

Mendiang adalah penyandang kerusi Parlimen Padang Serai yang dimenanginya buat kali pertama pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Peristiwa itu membuatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pada 24 November dan tarikh pengundian pada 7 DIsember ini.

Daripada peristiwa itu dapat dirumuskan tiga perkara penting yang bakal terjadi di Parlimen berkenaan pada hari pengundian kelak.


Pertama

Tarikh mengundi pada 7 Disember jatuh pada hari bekerja di Padang Serai. Tidak ada pengumuman cuti umum. Jelas Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, alasannya kerana pilihan raya itu hanya melibatkan satu kawasan Parlimen sahaja di negeri berkenaan.

Ini berbeza dengan pengundian pada 19 November lepas. Ia merupakan cuti hujung minggu sekali gus Jumaat itu sendiri merupakan cuti umum di seluruh negara.

Dengan latar belakang ini dan ditambah dengan ketidaktentuan cuaca barangkali peratus keluar mengundi pada 7 Disember nanti akan berkurangan berbanding peratusan di Parlimen lain yang mengundi pada 19 November lepas.


Kedua

Calon dan kecergasan jentera parti itu sendiri. Seperti yang sedia maklum, sebelum kematian Karupaiya, terdapat enam calon yang bertanding tetapi selepas penamaan calon pada 24 November lepas, hanya lima calon sahaja yang bertanding disebabkan calon parti Warisan yang tidak menawarkan diri sebagai calon.

Tiga gabungan parti yang besar iaitu calon Barisan Nasional (BN), Datuk C Sivaraj, calon Pakatan Harapan (PH), Dr Mohamad Sofee Razak dan Datuk Azman Nasrudin (PN) dilihat mendominasi pertandingan 7 Disember ini.

Daripada tiga gabungan itu pula, dua calon yang bersaing dan nampak di hadapan adalah Sivaraj serta Azman (biasa dipanggil cikgu Azman) sementara Dr Mohamad Sofee adalah calon pengganti PH dan baru memulakan kempen pada 24 November.

Sivaraj dan cikgu Azman dikenali dengan pengalaman serta kehebatan masing-masing dalam berbicara, gerak kerja, kesantunan pekerti dan penerimaan komuniti sekali gus menjadikan mereka sebagai dua saingan hebat.

Namun imej cikgu Azman mungkin sedikit 'goyang' selepas ada gesaan untuknya membuat permohonan maaf kerana membuat kenyataan kononnya kerajaan yang dibentuk ketika ini adalah 'kerajaan zina'.

Cikgu Azman dilaporkan melahirkan keyakinan ada isyarat jelas penolakan terhadap PH dan BN, susulan pembentukan Kerajaan Perpaduan yang disifatkannya sebagai 'kerajaan zina'.

BACA: Calon PN Padang Serai beri keterangan kepada polis berhubung kenyataan 'kerajaan zina'

Ternyata kenyataan itu tidak disenangi kerana konsep Kerajaan Perpaduan ini banyak didorongi oleh nasihat dan titah Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam semangat untuk menstabilkan kekalutan politik tanah air.

Sementara itu, tidak banyak isu timbul di pihak Sivaraj kerana beliau sudah lebih tiga tahun menghambakan diri dan berkhidmat di Parlimen itu sendiri.

Kepimpinannya dan dedikasinya sedikit sebanyak memberi kesan positif kepada rakyat di Padang Serai.

Namun keputusan BN akan memberi laluan kepada PH memberi impak kepada gabungan itu sendiri selepas Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dalam ceramah pengumuman khas yang diadakan di Taman Desa Aman, Padang Meiha menjelaskan, keputusan itu dibuat sebagai tanda kesepakatan Kerajaan Perpaduan antara BN dan PH di peringkat nasional.

BACA: PRU15: Calon BN akur beri laluan kepada PH di Parlimen Padang Serai

Sayangnya, hanya tinggal beberapa sahaja lagi untuk pengundian, satu 'political switch' berlaku dan kempen pusingan terakhir Sivaraj akhirnya terbantut walaupun namanya ada di dalam kertas undi.

Menyentuh tentang kecergasan jentera parti, ternyata pada awalnya semua parti yang bertanding telah membuat persediaan dan memulakan gerak kerja dengan mematuhi peraturan kempen yang ditetapkan.

Tetapi, jentera ternyata mengalami kecelaruan dalam gerak kerja kerana konsep dan pencerahan Kerajaan Perpaduan belum diterapkan ke akar umbi selepas diumumkan bahawa gabungan PH dan BN bersama selepas 19 November lalu.

Bagitu juga kecelaruan kepada jentera PN yang berubah dalam gerak kerja selepas mereka kini berada di blok pembangkang.

Jika dikaitkan dengan apa yang berlaku di DUN Tioman, ternyata PH mengisytiharkan bahawa mereka akan membantu BN dan terbukti ia juga berlaku di Padang Serai di mana BN telah mengumumkan akan menolong berkempen untuk calon PH.

Realitinya, corak dan pendekatan kempen masih tidak jelas dalam mengatur gerak kerja kerana pengumuman itu merupakan peristiwa pertama dialami di Padang Serai.




Ketiga

Mesej kempen selepas 19 November sudah menjadi tidak sekata di kalangan calon kerana sudah ada pembentukan sebuah kerajaan. Namun dari pemerhatian, mesej BN yang dibawa oleh Sivaraj konsisten dengan manifesto 5 Tekad untuk Padang Serai yang dilaungnya semasa berkempen.

Lima tekad ini menepati citarasa pengundi selain mesej kempen realistik dan tidak diragui untuk masyarakat di Padang Serai sendiri.

Namun, penerapannya terbantut di pusingan terakhir kempen selepas BN menarik diri dan mahu mempopularkan calon PH.

Pada hari pembuangan undi 7 Disember ini, pengundi Padang Serai akan memilih wakil mereka yang baharu setelah pemimpin lama meninggal dunia sewaktu berkempen. Mereka juga akan mengundi ketika kerajaan baharu sudah dibentuk bersama barisan Kabinetnya.

Pengundi juga akan mempertimbangkan keputusan BN menyokong PH sebagai perkara baharu dalam usaha menyakinkan dalam memilih calon yang layak untuk menjadi wakil rakyat.

Ternyata, sebagai Parlimen terakhir PRU15, Padang Serai akan memilih calon mereka dalam jajaran politik yang berlainan, tidak seperti Parlimen lain yang sudah menjalani proses demokrasi mereka sebelum ini.

Mereka akan membuat pertimbangan kepada perkembangan terkini dan akhirnya memangkah calon serta memilih untuk kebaikan mereka jua. Selamat mengundi P017 Padang Serai, Parlimen terakhir PRU15.



* Wan Syamsul Amly merupakan wartawan penyiaran kanan di Astro AWANI dan lulusan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi (CMIWS) UiTM.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.