Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini meminta sesi pendengaran Lembaga Disiplin PKR yang dijadualkan petang ini, ditangguhkan kepada 15 Ogos.

Menurut laporan The Malaysian Insider yang memetik kata-kata Abdul Khalid, beliau tidak akan hadir ke pendengaran hari ini dan beliau masih menunggu jawapan balas kepada surat yang dihantarnya pagi ini.

Abdul Khalid pagi tadi menyerahkan surat jawapan tunjuk sebab dihantar ke ibu pejabat PKR melalui setiausaha politiknya, Mustafa Mohd Talib setelah diminta memberikan penjelasan berhubung beberapa perkara kepada Lembaga Disiplin PKR..

Sebelum ini, Abdul Khalid telah diarah memberi keterangan dalam sesi pendengaran Lembaga Disiplin PKR, jam 3 petang hari ini, di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya.

Pengerusi Lembaga Disiplin Keadilan, Datuk Dr Tan Kee Kwong berkata, jika masa yang ditetapkan itu tidak sesuai, pihaknya mencadangkan masa dan tarikh lain iaitu sebelum jam 12 tengah hari Sabtu kepada Abdul Khalid.

Menurutnya, Abdul Khalid diminta memberi penjelasan berhubung lima perkara iaitu penstrukturan air Selangor, elaun baharu Menteri Besar, kenaikan cukai bagi lesen perniagaan, pinjaman dengan Bank Islam, serta cadangan pembinaan projek Lebuhraya Kinrara-Damansara (KIDEX).

Abdul Khalid, pada Selasa, diberikan surat tunjuk sebab kerana dikatakan mengingkari keputusan Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang memintanya meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar.

Surat itu turut memaklumkan bahawa mesyuarat telah memutuskan Presiden PKR yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, dilantik menjadi Menteri Besar Selangor yang baharu.