Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin diumumkan secara rasmi mengisi jawatan Naib Presiden UMNO ketiga.

Pengumuman tersebut dibuat Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam sidang media pimpinan baharu parti di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

"Bagi senarai Ahli Majlis Tertinggi pula tidak boleh diumumkan kerana ada empat bahagian yang melakukan kiraan semula undian.

"Perkara tersebut akan dihebahkan melalui laman web UMNO Online," kata beliau.

Pengumuman Tengku Adnan bermakna senarai tiga Naib Presiden UMNO baharu sudah lengkap.

Mohamed Khaled menyertai Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid sebagai Naib Presiden UMNO yang baharu.