Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Omar Jaafar hari ini mengarahkan Ketua Pembangkang DUN Melaka Datuk Seri Idris Haron keluar dewan kerana ingkar arahan untuk duduk dan berterusan membantah keputusan speaker.

Terdahulu Omar membuat keputusan menolak usul tergempar dibawa Idris untuk membahaskan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), bagaimanapun Idris terus berdegil untuk usul itu dibahaskan walaupun Omar menjelaskan sebab penolakan itu.

Omar berkata beliau menolak usul membahaskan ICERD kerana kerajaan Persekutuan sehingga kini masih tidak membuat apa-apa pendirian dan keputusan mengenai ICERD.

"Jika kita bahaskan sekarang apa-apa pendapat atau keputusan kita buat sekarang akan diketepikan, apabila pusat buat apa-apa keputusan nanti, ini akan buang masa kita," katanya menjelaskan perkara itu.

Idris kemudian kemudian tetap meneruskan bantahannya dan pertikaman lidah berlaku lebih 10 minit dengan anggota DUN Pakatan Harapan menyebabkan Omar memerintahkan Idris keluar daripada menghadiri persidangan hari ini.

Beliau kemudian diiring keluar dewan oleh bentara, sebelum semua 12 anggota DUN Barisan Nasional (BN) turut keluar dewan membantah keputusan speaker itu.

Tindakan 12 anggota DUN BN keluar dewan itu merugikan rakyat kerana tidak dapat membahaskan usul penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Kecekapan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan bagi Negeri Melaka (MELCAT) yang dibawa selepas itu.

-- BERNAMA