Isu ketidaksamaan sama ada dari segi pendapatan, pendidikan, pemilikan hartanah, pemilikan aset kewangan kalangan Bumiputera dan bukan Bumiputera adalah isu mendesak yang perlu ditangani segera.

Isu ini juga adalah antara cabaran yang perlu dilihat Umno yang mula bersidang minggu ini dalam menuju ke negara berpendapatan tinggi.

Ahli ekonomi dan penulis buku The Colour Of Inequality, Dr Muhammed Abdul Khalid berkata jurang pendapatan terutamanya antara isu yang semakin series yang perlu diambil perhatian segera.

“Sejak tahun 2009, jurang pendapatan semakin melebar. Perkara ini tidak pernah terjadi sejak tahun 1970.

The Colour Of Inequality

Sebagai contoh, Amanah Saham Bumiputera (ASB) mempunyai lapan juta penabung dan perbezaannya begitu besar apabila 80 peratus dari jumlah ini mempunyai jumlah tabungan RM500 dan selebihnya adalah RM1.5 juta” jelas Dr Khalid ketika menjadi jemputan di slot berita AWANI 745.

isu ketidaksamarataan
Jurang tabungan di ASB juga meningkat apabila 80 peratus mempunyai jumlah tabungan RM500 dan 20 peratus lagi RM1.5 juta, kata Dr Khalid - Gambar Fail

Tambah Dr Muhammed jurang yang besar ini berlaku kerana dua faktor utama iaitu harta pusaka dan pendidikan.

“Harta pusaka di negara kita tidak seperti di negara lain yang mana jika ia diturunkan kepada pewaris perlu dikenakan cukai. Namun jika di Malaysia, sekiranya seorang bapa memberikan RM100,000 kepada anaknya, tiada cukai untuk itu.

Kedua, dari segi pendidikan pula – dari 100 orang melayu hanya 10 yang mempunyai kelulusan ijazah ini menyebabkan mereka yang hanya berpendidikan menengah perlu bersaing dengan pekerja dari luar negara” katanya.

isu ketidaksamarataan
Menurut kajian dari 100 orang melayu hanya 10 yang mempunyi ijazah, ini menyebabkan golongan berpendidikan menengah perlu bersaing dengan pekerja dari luar negara. - Gambar Fail

Dr Muhammed turut mengulas mengenai langkah kerajaan dalam menagihkan pendapatan EKUINAS kepada PNB untuk diagihkan kepada kaum Bumiputera.

“Langkah ini bagus namun cara pengagihan itu yang saya kurang bersetuju. Ini kerana hanya 47 peratus orang melayu yang mempunyai ASB dan setengah lagi tak akan dapat.

Lebih baik diberikan kepada tabung pendidikan atau bantuan makanan” katanya.

Ulasan yang sama diberikan kepada BR1M, kata Dr Muhammed dalam kajiannya pemberian BR1M hanya mengurangkan jurang orang miskin dan kaya tidak sampai 1 peratus.


isu ketidaksamarataan
Kajian yang sama turut mendapati kaum Cina mempunyai peluang lima kali ganda untuk diambil bekerja berbanding melayu - Gambar Fail
“Jika perhatian diberikan kepada perlaksanaan gaji minimum rakyat, jurang ini dapat dikurangkan sehingga 7 peratus” jelas Dr Muhammed.

Kata Dr Muhammed, kajian yang sama turut mendapati kaum Cina mempunyai peluang lima kali ganda untuk diambil bekerja berbanding melayu.

“Suruhanjaya kesamaan peluang perlu diwujudkan untuk menangani isu diskriminasi di sektor swasta.

“Penubuhan suruhanjaya tersebut, akan memastikan setiap kaum mendapat peluang sama rata di pasaran kerja sektor swasta” katanya.


isu ketidaksamarataan
Kajian mendapati bumiputera lebih banyak ke sekolah agama, namun kemudian statistik menunjukkan pendapatan mereka yang dari sekolah agama adalah kurang - Gambar Fail

Lebih membimbangkan kata Dr Muhammed, kajian mendapati pendapatan mereka yang berkelulusan dari sekolah agama adalah kurang.

“Kajian mendapati bumiputera lebih banyak ke sekolah agama, namun kemudian statistik menunjukkan pendapatan mereka kurang.

Saranan saya, kita perlukan perkasakan sekolah agama dengan memberikan pembelajaran teknikal pada sebelah petang dan mungkin malam belajar mandarin untuk memberi peluang lebih dalam pekerjaan” jelas Dr Muhammed.

Namun Dr Muhammed menegaskan bahawa untuk mengecilkan jurang ketidaksamaan memerlukan masa dan polisi yang betul.

Ikuti video penuh ulasan mendalam Dr Khalid mengenai isu ketidaksamaan.